Saturday, September 20, 2014


"...Takdir itu melalui sebab dan akibat, suatu takdir tidak akan datang dengan tiba-tiba, tetapi ada garis yang dilaluinya..."


(Terusir, Bab 2, m/s 15)

Saya baru sahaja menghabiskan novel nipis karya Hamka (Haji Abdul Malik bin Karim bin Amrullah). Dan kata-kata di atas adalah petikan buku tersebut.


Ya, tokoh Padang, Indonesia yang terkenal itu. Ya, beliau adalah Ketua Umum Pertama Majlis Ulama' Indonesia. Dan beliau menulis novel roman!

Sinopsis Novel

'Terusir' bercerita tentang seorang wanita muda yang cantik bernama Mariah. Beliau mempunyai seorang suami (Azhar) dan anak lelaki (Sofyan) yang tinggal di Kota Medan. Langkisau (pelangi) hidup mereka bertebaran hancur apabila fitnah melanda rumahtangga. Kesannya, Mariah dihalau keseorangan dari rumah.

Maka, bermulalah episod kehidupan Mariah tanpa suami. Dirinya yang cantik telah menyebabkan dia tidak disenangi oleh isteri saudara angkatnya sendiri. Dan telah dihalau keluar sekali lagi.

Demi mencari sesuap nasi, dia mula bekerja di sebuah rumah Nyonya kaya berbangsa Dutch (saya anggarkan). Kemudian tidak beberapa lama, mereka berpindah ke Tanah Jawa atas sebab tertentu. Sepanjang bekerja, Mariah beberapa kali dilamar oleh teman sekerjanya iaitu Yasin.; seorang yang dilihatnya baik walaupun tidak berpendidikan tinggi.

Demi sahaja lamaran yang datang berulang kali, akhirnya Mariah berkahwin dengan Yasin. Dan selepas lima tahun bekerja dengan Nyonya Besar, Nyonya Besar kembali ke Eropah dan tamatlah perkhidmatan Mariah dan Yasin sebagai pembantu rumahnya. Keduanya terus menetap di Tanah Jawa.

Langit tidak selalu cerah. Mariah dianiayai oleh Yasin dan akhirnya hidup melarat. Dia diceraikan pula oleh Yasin. Satu-satunya punca pencarian bagi dirinya adalah melacur kerana semua majikan yang didatanginya tidak ingin dia bekerja di tempat mereka. Semuanya kerana kecantikan yang dimilikinya. 

Maka terkenallah Mariah di Kota Jakarta sebagai Neng Siti iaitu nama samaran barunya sebagai seorang pelacur cantik. 

Sementara itu, Sofyan menjadi seorang yang berjaya sebagai peguambela. Sinar cemerlang mencarak di dada perjalanan seorang Sofyan. Dan sehinggalah suatu hari, Sofyan ditugaskan untuk menyelesaikan sebuah kes rumit iaitu perempuan tua yang membunuh seorang lelaki.

Perempuan itu tidak bekerjasama dengan Sofyan dalam mendedahkan cerita sebenar -sebab pembunuhan-. Namun ketika menunggu keputusan perbicaraan diumumkan, perempuan itu meninggal dunia sebaik sahaja mengelus dan mencium kening Sofyan. Dia meninggal sementara kepala Sofyan betul-betul di atas ribaanya. Dan perempuan itu adalah Mariah, ibu kandungnya sendiri.

Cerita pilu ini berakhir dengan pendedahan sebenar oleh Azhar pada saat kematiannya bahawa perempuan yang meninggal beberapa bulan sebelum adalah ibu kandungnya. Ibu kandungnya yang dikatakan Sofyan telah meninggal setiap kali pertanyaan diajukan kepadanya.

Tulisan Itu Realiti

Secara jujurnya, saya terkesan dengan mesej yang cuba disampaikan oleh HAMKA dimana beliau ingin menekankan tentang tanggungjawab seorang suami dan bahaya fitnah. Beliau juga cuba mengangkat realiti masyarakat tentang dunia pelacuran bilamana watak Wirja dan Flora dimasukkan bersama.

Kita mampu melihat realiti konflik sebuah rumahtangga; cinta, kasih sayang, dengki, fitnah dan sebagainya mengitari hakikat sebuah masjid. Dan seorang anak yang menghadapi perceraian ibu bapa pasti akan mengalami gangguan emosi jika tidak diuruskan dengan baik. Maka,peranan yang penting harus diambilalih oleh penjaganya sebagaimana Azhar menjaga Sofyan. Dan tidak dinafikan dengan tekanan yang ada, si anak bisa berjaya walaupun jalannya berbeza dengan yang lain -sepertimana Sofyan juga-. 

Seterusnya, HAMKA tidak lupa untuk menyentuh tentang keinsafan. Bagaimana Azhar akhirnya insaf selepas dia bercerita kepada sahabat baiknya iaitu Abdul Halim. Pertimbangan dan penilaian yang dilakukan oleh Halim jelas rasionalnya. Disini patut kita sedari  bahawa perlunya fitnah itu kepada suatu pemeriksaan teliti sebagaimana yang mampu kita lihat dalam sirah Nabi saw ketika terjadinya fitnah ke atas Saidatina Aisyah r.a dan Safwan. Nabi tidak terus menjatuhkan hukuman sebaliknya Baginda meminta pandangan beberapa sahabat tentang masalah ini. Tidak cukup dengan itu, Nabi saw bertanya pula kepada Barirah iaitu seorang pelayan perempuan yang rapat. (Rujuk Hadithul Ifki, Sirah Nabawiyyah, Dr Said Al-Buti). Rentetan itu, turunlah ayat 11-21 dari Surah An-Nur.

Lihat sahaja bagaimana Baginda mengajarkan kita tentang peri pentingnya penelitian terhadap bahaya fitnah. Dan inilah yang tiada pada watak Azhar. Mungkin sahaja ini ada terselit di hati kita selaku manusia biasa.

Ulama' Menulis Novel?

Tulisan itu hidup dan menghidupkan. HAMKA adalah salah seorang penulis novel roman merangkap seorang ulama'. Sebutkan sahaja. Antaranya Tenggelamnya Kapal Van De Wicjk, Terusir, Di Bawah Lindungan Kaabah, Keadilan Ilahi dan lain-lain lagi. Maka persoalannya disini, salahkah seorang ulama' menulis novel?

Pada pandangan saya yang masih mentah dan hijau ini, tidak salah kerana pendekatan yang dibawa oleh HAMKA ini membawa kesan pada jiwa sebagaimana aliran air yang melekukkan batu keras. Percaya atau tidak, sastera amat diperlukan dalam dunia dakwa . Dakwah tanpa sastera akan menjadi sangat beku dan tidak hidup. 

Dan mampu kita lihat sendiri bagaimana  HAMKA mendidik masyarakat melalui tulisan ini-Terusir- dengan langsung tidak memasukkan ayat Al-Quran, akan tetapi intipatinya mampu kita perolehi secara tidak sedar. Dan terdapat juga kata-kata Imam Ghazali dan sebagainya. 

Menulis tidak memerlukan gelaran dan waima tidak terikat dengan gelaran. Anda bebas untuk menulis. 

Menulis tiada limitasinya. (Perkara ini kita bincangkan dalam entri seterusnya)

Selagi mana anda membaca dan menulis, selamanya anda akan terus hidup. 

Menulislah, menulislah, menulislah.

Konklusi

Kasus kehidupan setiap manusia itu berbeza. Jalannya, likunya telah ditentukan Tuhan mengikut kemampuan masing-masing. Dan ingatlah,

"...segala sesuatu telah ditetapkan ukuran atau nilaiannya di sisi-Nya" (QS 13:8)   

Takdir Tuhan tiada yang mampu menahan, namun sebagai manusia kita haruslah berusaha untuk terus maju menongkah badai kehidupan yang mencendas (menerjang). Tuhan tidak akan sesekali mensia-siakan hamba-Nya. Dan Tuhan juga tidak pernah ingkar dalam menunaikan janji. 

"...Jika langit hendak jatuh, 

bagaimanalah telunjuk bisa menahannya..." (Hamka)



5 comments:

  1. Terima kasih atas ulasan berharga ini, semoga Allah memberkati.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Amin. Terima kasih sudi membaca dan menjenguk blog saya. Sudah lama tiada post, namun komen saudara/i ini membuatkan saya ingin kembali menulis!

      Delete
  2. Sungguh menarik kupasan anda. Terima kasih. Selepa saya memebaca novel ini, saya kagum dengan tulisan Buya Hamka. Adakah masih wujud wanita seperti Mariah pada hari ini ?

    ReplyDelete
  3. Sungguh menarik kupasan anda. Terima kasih. Selepa saya memebaca novel ini, saya kagum dengan tulisan Buya Hamka. Adakah masih wujud wanita seperti Mariah pada hari ini ?

    ReplyDelete
  4. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete