Wednesday, September 2, 2015

1 September 2015. Bulan masih berwarna jingga, separa bulat kala saya mengetik kekunci ini. Di luar, udaranya sejuk mencengkam sumsum. Dari pagi saya terasa seperti ada sesuatu yang isitimewa pada hari ini. Sempat saya belek beberapa tarikh lahir orang-orang terdekat. Tiada apa pula. Barangkali hanya perasaan saya semata. 

AK 47. Ia bukanlah nombor penerbangan, atau penginapan. Ia adalah nama sebuah restoran yang menjadi tempat makan malam saya dan beberapa teman pada malam ini. Senja ini, dan kita menikmati hidangan kita, dalam senyum dan tawa, dalam cerita dan lukisan rasa. Tanpa kita sedar ini mungkin menjadi hidangan terakhir kita bersama. Kata seorang teman saya, dia akan menjadi orang baru semester panjang ini. Tanpa sedar, saya juga memasak impi sebegitu beberapa detik yang lalu. 

Terima kasih kerana tom yam masih menjadi pilihan kita. Terima kasih untuk seberkas nilai yang engkau ajarkan, juga sebungkal harapan dan impian yang selalu meniti di bibirmu. Terima kasih kakak untuk cebis-cebis cerita nun dari jauh di hujung negeri sana. Seorang Ridhwan tidak pandai memberitahu kita betapa dia memerlukan perhatian. Tetapi hakikat tidak akan pernah menipu mengapa dia menjadi seperti yang kita lihat sekarang. 

Saya harus pergi sekejap, keluar dari hidup mereka yang rapat untuk sementara waktu. Tidak, ini bukan pengakhiran. Ia mungkin masa untuk bersendiri dan merenung kembali apa yang telah terlakar pada mimpi-mimpi kita. Kata Stacy, berteman sepi. 

Dan esok saya akan ke Johor. Hati yang berpaut pada kenangan ini akan saya tanyakan kembali apa mahunya. Teman saya juga akan kembali mengajar di sekolahnya. Selamat menyelami hati anak-anak itu, teman. Moga seorang Ishan sempat mengenali seorang Nikumbh. Seorang teman lagi akan berangkat jauh sedikit. Ke luar negara. Selamat tinggal teman. Moga engkau pulang dengan hati baru seperti yang engkau pinta.

Moga saya juga pulang nanti dengan sesuatu yang baru untuk semester panjang ini. Selamatlah teman. 

0 comments:

Post a Comment