Friday, April 17, 2015

Kakinya melangkah laju. Kami yang baru sejenak tiba terhincut-hincut sesaat dua,  membontoti Ustaz Nizam. KL Sentral tidak begitu sesak pagi-pagi begini. Tetapi kukira ia sibuk seperti biasa. Manusia bergerak pantas; sibuk dengan urusan masing-masing. Mataku sempat menjeling ke arah ruang menunggu KTM Intercity. Boleh tahan ramainya.

Kereta bertali arus tidak memberi peluang kami melintas ke seberang. Sesekali Ustaz Nizam menoleh ke belakang. “Cepat-cepat.” Tangannya tergawang-gawang menggesa kami mengekorinya dengan pantas. Peluh sedikit berjejetan dengan matahari yang semakin meninggi, ditambah langkah dibuka luas-luas untuk menyaingi ustaz nun di depan sana. Kira-kira 600 meter juga jarak Muzium Negara dari KL Sentral jika berjalan kaki.  

Pintu Muzium Negara sudah kelihatan. Kami disambut dengan batu kilometer Tanjung Malim yang sedikit besar itu. Ada lumut nipis yang menyinggah di batu putih itu. Kak Afaf termengah-mengah, Kak Aida mengelap peluh yang sedikit mengalir di bening nipisnya itu, dibetul-betulkan tudung putihnya. Natirah pula tidak berhenti senyum sedari keluar dari LRT tadi. Mengapa? Entahlah. Kak Izzah pula senyap sahaja. Barangkali dirinya sudah hanyut ke dalam tempat bersejarah penuh nafas itu.  

Kami memulakan pengembaraan ke muzium dengan meninjau-ninjau kawasan di luar muzium, cuba mengamati bentuk dan seni yang ada pada bangunan tersebut. Kata orang, sebelum mengetuk pintu diintai-intai dahulu bunga di laman. Muzium Negara ini dibina selepas enam tahun kemerdekaan Tanah Melayu dan telah memakan masa sekurang-kurangnya tiga tahun. Di sebelah pintu utama terdapat dua lukisan mural yang cukup besar, panjangnya dalam sepuluh hingga lima belas meter mungkin. Tingginya pula kuanggarkan dalam lebih kurang lima meter. Kedudukannya agak tinggi dari tanah, seolah-olah tergantung di udara. Sangat mengagumkan apabila mural tersebut terbentuk daripada mozek Itali yang begitu kecil saiz setiap satunya. Menurut Ustaz Nizam, mozek ini adalah hasil sumbangan seorang jutawan dari Singapura. Mozek yang mencatat tahun-tahun penting dalam sejarah Melayu ini berbicara pada kami seolah-olahnya kami berada di zaman itu.

Zaman penanaman getah secara besar-besaran, zaman Jepun masuk menjajah, zaman kemerdekaan dan sebagainya. Menurut Ustaz Nizam, mural ini diusahakan oleh seorang susuk yang cukup berjasa dalam pembinaan Muzium Negara ini; Tan Sri Mubin Sheppard. Langsung duit negara tidak disentuh. Beliaulah antara orang yang membantah cadangan rekaan Muzium Negara yang dikemukakan oleh pihak luar, sebelum mengusulkan beberapa orang arkitek tempatan untuk merangka seni bina bangunan ini. Maka, terhasillah bangunan yang mengadunbaik seni bina tradisional Kedah, Terengganu dan Kelantan ini. Matahari menyengat bisa kala ustaz memberi penerangan tentang hal ini. Mendengar penerangan ustaz, hati aku berdialog sendiri; ‘Pasti Tan Sri Mubin sedih jika melihat anak bangsa hari ini yang sukar sekali menghayati sejarah. Ah, sedih benar!’

Kami masuk ke muzium yang terbahagi kepada empat galeri itu hanya dengan tiket berharga dua ringgit. Empat galeri dengan ketinggian seratus dua belas kaki ini nyata begitu klasik dan pengembaraan kami dimulai dengan galeri A yang menempatkan artifak-artifak di zaman Paleolotik, Neolitik, Mesolitik dan Logam. Aneh sekali rasa di hati apabila seakan-akan tidak bertemu titik pertembungan antara kisah-kisah nabi terdahulu yang dirakam dengan sejarah umat manusia ini. Aku bingung sendiri.

Sejurus Ustaz Nizam menggambarkan kepada kami; “Jika dinisbahkan umur bumi yang sebenar dengan kehadiran manusia, maka boleh saya katakan manusia hanya muncul pada waktu tengahari 31 Disember dalam satu tahun lengkap,’ terpana aku. Betapa manusia ini adalah pendatang asing di muka bumi ini. Oh manusia, begitu singkat, pendek dan mudanya usiamu jika dibandingkan dengan usia bumi ini. Betapa!

Ustaz menerangkan satu-persatu zaman yang ada di Malaysia. Bagaimana perkembangannya, apa perkaitannya, peristiwa-peristiwa besar yang berlaku dalam sejarah umat manusia dan sebagainya. Jika diteliti, zaman-zaman ini mempunyai signifikan masing-masing dan memberi impak yang berbeza pada waktunya. Sepertimana seorang anak yang membesar dan mempelajari pelbagai perkara baru, maka itulah yang merubah seorang anak kecil itu menjadi dewasa. Mungkin manusia juga begitu; dari buta teknologi sehinggalah berjaya mencipta logam dengan teknologi tersendiri. Pinggan, mangkuk, gendang dan pelbagai alatan dipamer elok dalam bekas kaca.

Di penghujung galeri A, aku cukup tertarik dengan candi-candi yang ditemui oleh ahli arkeologi. Bagaimana agama Hindu-buddha terlebih dahulu mengambil tempat di Tanah Melayu, lalu menjadi anutan sejagat manusia di waktu itu. Dan bangsa Melayu yang begitu terkenal dengan pelbagai jenis kemahiran. Hebat. Bangsa kita cukup hebat berdagang, cukup mahir dengan ilmu pelayaran, cukup bijak menguruskan hal ekonomi dan sebagainya. Benarlah, terkadang keadaan terpaksa itu akan memungkin segalanya berlaku. Benarlah, sengaja moyang kita mendirikan muzium segah ini agar cucu-cicitnya tahu; agar cucu-cicitnya mengerti bahawa yang tersisa dari keringat hari ini adalah hasil usaha semalam; agar cucu-cicitnya ini mengerti bahawa yang menghubungkan zaman kini dan zaman lampau adalah sejarah; agar cucu-cicitnya ini tahu yang bakal melorek sejarah itu juga adalah bangsa hari ini. Betapa!

Selama kira-kira empat jam bersama ustaz dan sekumpulan senior (Kak Aidah, Abang Faiz, Abang Hasbullah, Kak Izzati, Kak Izzah Solehah, Kak Syitah dan Natirah) nyata membuatkan aku tepu untuk mencerna. Bagaimana salasilah Raja Melayu yang begitu kuat dalam mempertahankan maruah masing-masing, lantas menimbulkan berbagai perselisihan. Diberitakan pula tentang kedatangan Islam ke Tanah Melayu lantas membina kerajaan Islam yang pertama iaitu Kerajaan Perlak, diikuti Pasai, Melaka dan seterusnya. Ilmu yang terkuak dari seorang Ustaz Nizamuddin Alias itu umpama air mengalir, begitu mudah, lantas menghidupkan hati-hati yang kering dan dahagakan ilmu.
Aku sayu, sayu dengan suara Ustaz Nizam yang serius dan pandai berjenaka itu. Mulutnya tidak henti bercerita seolah ingin dicurahkan segala ilmu di dada, supaya anak-anak muda yang berdiri tegap di hadapannya ini akan meneruskan pula legasinya; menjadi pencinta sejarah. Tepat sekali, manusia yang tidak ingin menoleh ke belakang walau sejenak adalah  manusia yang mudah lupa diri. Kita sememangnya tidak sempat berjumpa dengan mereka - Tan Sri Mubin Sheppard dan susuk Tunku Abdul Rahman-, tetapi apa yang generasi mereka tinggalkan adalah sebongkah rasa yang tercerna pada helaian-helaian manuskrip, dan pada ukir seni pending, destar, tengkolok, keris serta mahkota kebesaran. Sungguh, terima kasih itu tidak akan pernah cukup untutk mengungkapkan cinta yang tertangguh ini!

p/s: Terima kasih banyak-banyak kepada senior! Arigatou! 

0 comments:

Post a Comment