Saturday, September 20, 2014

       
 Arwah aki dan nenek. Masihkah kau ingat? Di saat mereka berdua hanya memerhati anak cucu pulang dari bandar, tempat mencari rezeki, sabar menanti di birai beranda. Masihkah kau ingat ketika aki dan nenek sibuk menyapa cucu-cucunya di malam hari - bertanyakan bantal, selimut dan lemek-. Sibuk pula dicari dalam lemari semua itu.

       Rasa seperti baru sahaja aki dan nenek meninggalkan kita. Diam-diam sudah lebih lima tahun mereka pergi. Aki orangnya amat simple, berbadan sederhana, selalu tersenyum, lembut dalam pertuturan dan bijak menguruskn keluarga. Nenek pula kelakar, prihatin dan penyayang.

        Aki dan nenek, rutinnya mudah. Di malam hari, tidurnya awal. Esok bangun mengerjakan Subuh berjemaah di bilik. Sewaktu badan masih kuat, kedua-duanya akan berjalan ke masjid untuk solat. Barangkali inilah rahsia kekalnya rumah tangga hingga ke akhir hayat. Usai Subuh, tika itu juga anak cucu bangun, beratur menunggu giliran tandas. Kadang-kadang terdengar suara anak-anak lelaki memekik tidak sabar menunggu. Maklum sahaja rumah aki dan nenek hanya punya dua tandas. Selepas solat Subuh, kala matahari naik segalah, pasti makan minum sudah tersedia di atas meja dapur. Kadang-kadang dibeli, kadang-kadang dimasak beramai-ramai. Surat khabar pula sudah menanti untuk dibaca. Sinar Harian, Utusan Malaysia - sebutkan sahaja. Ini antara amalan aki, membeli semua akhbar yang ada. 

       Aki dan nenek akan bersembang di pagi hari. Jika kami anak cucu pulang, maka makin rancaklah sidang sembang. Ada Mak Long, Ayah Long, Cik Ngah, Ayah Adam, Pak Utih, Mak Utih, Mak Cu dan lain-lain - tak larat nak sebut semua-. Masing-masing membawa cerita tersendiri. Masing-masing tidak kekok untuk bergaul mesra. Apakan tidak, berjumpa hanya sesekali. Apa yang menariknya keluarga ini, apabila anak cucu pulang waima dari Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Terengganu, semuanya akan memakai dialek yang sama iaitu dialek Setiu (ala-ala Kelantan sikit). Dan ia berlanjutan sehingga sekarang. Masing-masing tidak membawa dialek tempat kerja. Kampung adalah kampung. Itu yang paling saya suka.

      Dan pada setiap Jumaat, kami -anak cucu- akan dikerahkan untuk membersihkan halaman rumah; menyiram pokok bunga, membersih sampah. Abang Khairi sibuk mengejut  lelaki-lelaki untuk bangkit dari tidur dan mengerahkan mereka turun halaman. Buang sampah, bersihkan kolam ikan, sapu daun-daun kering dan sebagainya. Kami kaum perempuan pula menyelesaikan kerja di dalam rumah; menyapu, mengelap, basuh pakaian dan banyak lagi. Sesekali abang, Abang Edi, dan anak-anak lelaki yang lain akan berkejar untuk menangkap ayam kampung. Ayam kampung ini bukanlah seperti ayam bandar. Ligat berlari dan sukar didekati; itulah ciri-cirinya. Bukan mudah ditangkap. Liat pula isinya apabila dimasak.

     Di waktu tengahari pula, kami akan makan bersama-sama. Aki pasti memanggil semua cucu untuk makan bersama. Sekali harung, kata orang Terengganu. Yang tua akan duduk di atas kerusi mengelilingi meja bulat. Anak-anak pula (baik remaja mahupun masih kecil) akan bersila di lantai. Apabila berkumpul di satu tempat begini -dapur-, masing-masing sibuk ingin menjadi wartawan di dapur. Orang tua dengan cerita kerjanya, kami yang muda dengan cerita kami. Bukan mudah ingin merasa masakan kampung, apalagi pulut durian nenek. Tidak pernah aku jumpai lagi pulut durian seperti itu melainkan di teratak nenek. (Rindunya). Ulam-ulaman kebiasaanya hanya dipetik di belakang dapur. Ya, kawasan luas itu nenek jadikan kebun. Dan apa yang saya perasan, sehingga kini hobi berkebun nenek turut diwarisi oleh ibu-ibu saudara. 

      Pada waktu malamnya, kami akan solat Maghrib dan Isya' berjemaah. Untung sahaja ruang tamu aki dan nenek luas. Mampu memuatkan dua sof lelaki dan dua sof perempuan. Satu sof saya anggarkan dalam sepuluh orang. Solat berjemaah wajib jika anak cucu pulang. Aki pula akan menunggu kami setiap kali ingin bersolat Maghrib. Dan selepas solat Maghrib, mengaji sehingga jam 8. Kemudian? Berita Perdana TV1. Ketika itu adalah waktu premier aki. Tiada yang boleh mengalih siaran. BBC, AXN, CITRA, TV3 semua tidak dibenarkan. Usai sahaja berita barulah anak cucu boleh mengambil takhta memegang remote control. Itupun akan berlaku perebutan kuasa antara tiga pihak; anak lelaki, anak perempuan dan kaum ibu. Kaum bapa pula diam dan bertindak sebagai penganalisis. 

     Betapa bonding time seperti ini dirindui. Kini generasi kami (cucu nenek) kian membesar. Ada yang sudah berkahwin, ada yang punya anak, masih belajar, bahkan ada yang masih berhingus. Kehidupan akan terus berjalan seadanya ia. Tidak sesekali menunggu kita dan mengikut semua kehendak manusia. Dan betapa hati manuisa ini tidak punya apa-apa untuk mengingati orang yang telah mati melainkan impian dan memori. (AlFatihah) Dan semoga aki dan nenek terus tenang di sana. Kami akan terus merindui seorang aki dan nenek. 

     Sekian.

0 comments:

Post a Comment