Wednesday, November 25, 2015

Kepada:
Kawan

----------------------------------------------------------------------------------------------

Daripada:
Aku

Assalamualaikum wbt.

Ia adalah satu catatan tertangguh. Maafkan daku terlalu lama tidak mengutusimu. Sibuk? Entah. Sibuk sebagai seorang pelajar bagaimanalah sangat. Bertemu Dr Mega, menyiapkan kerja Dr Thameem, sesekali termenung di The Grill dan sesekali menjenguk Dar Al-Hikmah. Dr Haslina pula semakin kerap memberi bahan bacaan. Engkau bagaimana? Masih berdiamkah? 

Sudah terlalu lama bukan semenjak hari kita bertemu sapa itu berlalu. Ia hasratku yang tercapai dengan tidak sengaja. Memadailah. Kita bertemu dengan tidak sengaja dan bersapa dengan tidak sengaja. Cukup. Ia sudah cukup untuk aku. Jauh dari sudut hatiku yang paling dalam, ya hasratku sudah termakbul; menegurmu yang pertama.

Terbanglah, terbanglah dari ruang ini. Engkau sudah kurelakan pergi. Seringkali aku membuka tetingkap Instagram milikmu, menanti setiap post terbaru yang ada; tetapi hampa. Seringkali juga aku mengintai dinding Facebookmu, tetapi kecewa. Engkau benar-benar berdiam bukan? Kawan, mengapa begitu?

Sudah tidak kita punyai waktu seperti dahulu. Seperti beberapa tahun yang dahulu. Engkau dan aku semakin dewasa dan kita meniti ruang hidup yang berbeza. Namun engkau harus tahu satu perkara, setiap momen yang ada tidak pernah aku lupakan walau sedetik pun ia. Mungkin selepas ia akan terus melekat di sini. Dan ketahuilah engkau antara kawan terbaik aku pernah ada, walaupun ia hanya sesingkat embun menjelma.

Oh ya, persediaan aku ke Turki sudah hampir sepenuhnya. Tiket sudah aku tempah, penginapan di sana sudah tersediakan. Ia 5 bulan, kawan. 5 bulan tanpa sesiapa di sisi. Engkau mungkin tidak akan sempat menghantar aku ke sana, tapi iringilah aku dengan doamu, seperti yang selalu engkau lakukan dahulu. Aku rindu akan doa-doa itu.

Hantarkanlah berita jika engkau senang nanti.

Sekian berita dari aku.

Yang tidak melupai,
Aku.





0 comments:

Post a Comment