Sunday, November 29, 2015

Malam membeku. Apatah lagi dengan saya yang mendiam dalam Dar al-Hikmah (perpustakaan UIA) ini. Melayan celoteh seorang kakak Master berkicau tentang penutupan perpustakaan antara jam 7 hingga 8 malam, melilau kiri dan kanan, mendengar Dr Tariq sesekali dan memenuhi karenah pelajar-pelajar yang memerlukan bantuan untuk print dan fotokopi. Itu memang kerja saya selaku part-timer di sini.

UIA sunyi minggu ini. Entah mengapa saya rasakan sunyinya lain macam berbanding mingu-minggu sudah. Barangkali kerana dua kawan baik saya balik rumah hujung minggu kali ini.

Seringkali saya bimbang, gusar dan khuatir dengan pengunjung blog ini. Entah siapa yang menyinggah dan menyering di sini, setia mendengar saya merapu meraban ditemani musik melankolik sebegini. Tidak terlalu ramai, tetapi anda sentiasa ada. Mungkin cikgu saya, mungkin teman tidak dikenali, mungkin teman rapat, mungkin teman lama. Mungkin dan mungkin. Banyak mungkin. Terima kasih tidak terhingga sudi meluangkan masa untuk membaca. Seringkali juga saya segan dan malu teramat mengenangkan di blog inilah saya humbankan segala perkara yang dalam. Saya lebih memilih blog berbanding facebook yang terlalu terbuka itu. 

Ya, bukankah menulis itu melegakan? Kerana tidak semua perkara mampu terluahkan dek mulut kita kan? Minggu ini saya ditugaskan untuk membuat satu presentation tentang Suhrawardi, seorang ahli falsafah yang penuh kontroversi. Ya, idea Illumination yang dikatakan ada kaitan dengan agama lain. 20 minit dan ia berlalu dengan pantas seperti dirancangkan. Presentation saya biasa sahaja. Bercerita tentang latar belakang, memahami idea utama yang kontroversi itu dan menyilangkan ia dengan kritikan-kritikan yang ahli falsafah lain. Juga mencari sumber idea tersebut. Sesuatu yang baru untuk saya yang buta falsafah ini. 

Namun apa yang menyentuh hati saya adalah isi tambahan yang diberikan oleh pensyarah saya, iaitu Dr Megawati Moris. How could I say much more, IIUM's lecturers are all super awesome. Air mata saya hampir menitis, dada menakung sebak kala Dr Mega mengulas tentang konsep 'abandoning the world in term of spiritual'. Dr mengupasnya dengan begitu halus dan mendalam. Seperti biasa, seisi kelas akan terdiam mendengar bicara Dr. Entahlah, dari dulu lagi saya tertanya-tanya bagaimana kami pelajar mampu merasakan aura ikhlas yang begitu tulus dari pensyarah-pensyarah yang awesome ini. They are so sincere in delivering their vast knowledge! Ya ikhlas tak mampu diukur, tapi kita boleh rasa kan? **senyum**

Dr Thameem pula seringkali mengulang, saya boleh saja bagi kamu semua A, tapi tolong baca buku lebih dari dalam kelas. Bagi beliau A tidak bermakna apapun jika bukan ilmu sebenar yang dicari. Dr Thameem selalu bersemangat mengajar, hatta subjek Research Method sekalipun. Walaupun Research Method ini lebih kepada teknikal, Dr seringkali menyelitkan pelbagai cerita dan isu semasa. Ah, siapa yang tidak cinta dengan sosok sebegini. Dr Thameem bersahaja, selalu masuk kelas dengan hanya membawa sebatang pendrive dan sehelai kertas kehadiran pelajar. Selamba kan?

Dr Haslina Ibrahim pula seringkali melambakkan pelajar beliau dengan 'hadiah istimewa', iaitu bahan bacaan berbentuk buku. Oh Tuhan, bukunya bukan senipis buku cerita dan seringan novel biasa. Beliau suka benar mengajar kami untuk mencerna konsep dengan sendiri. Katanya, biar pelajar baca dan faham sendiri dahulu. Dalam kelas, bentangkan apa yang difahami itu. Selalunya dalam bentuk PBL (Presentation Based Learning). Dan sejurus itu, madam akan tambah apa yang perlu atau betulkan apa yang salah.

Oh ya, ini saya sambung menulis kira-kira jam 7 pagi. Lampu bilik terpaksa dipadam sementelah kelkatu menyerbu masuk sebaik tingkap bilik dibuka. Terpaksalah saya bergelap seketika. Hujan hujan begini pula. Enak benar jika berkelubung kembali. Sekarang ni, UIA selalu hujan kan pagi-pagi? *grin*

Setakat itu ceritanya. Sekali lagi terima kasih terus sudi menjenguk blog yang banyak merapu nih. Walaupun saya tak kenal pembacanya, sekurangnya saya tahu anda sentiasa ada. Dan maafkan saya banyak merapu, kadang-kadang emosional. Heh.*grin grin*




0 comments:

Post a Comment