Friday, April 24, 2015


Kepada:
Kawan

----------------------------------------------------------------------------------------------

Daripada:
Aku

Assalamualaikum wbt, kawan.

      Apa khabar agaknya engkau di sana? Lama sudah tidak berutus khabar sedari waktu dan keadaan yang semakin berubah ini. Yang sempat aku rakamkan adalah perbualan kita kira-kira sebulan yang lalu, iaitu pada bulan Mac. Aku sihat-sihat sahaja. Oh, aku harap engkau tidak marah atau janggal akan panggilan yang aku gunakan ini; “aku-engkau”, dan bukan “saya-awak” mahupun “ana-enti-enta”. Panggilan itu sama sahaja, bukan?

     Engkau kini milik masyarakat. Aku hanya mampu memandang dari jauh, dan meraih khabar dari teman-temanmu. Aku tahu pernah sesekali engkau memberontak, mungkin. Barangkali jiwamu juga sedang bergolak dengan perubahan demi perubahan ini. Itulah hidup, kawan. Ia umpama guli yang melantun; sentiasa mencari tempat sesuai untuk berdiam. Tiba masa, berhentilah ia usai ketemu apa yang dicarinya.

     Aku menukang ini saat Maghrib melabuh tirai. Tidak sempat pula aku saksikan matahari tenggelam membias riak petang ini. Aduh, rugi sekali!

     Aneh. Beberapa malam lepas kita bertemu, tetapi entah mengapa lidahku terlalu kelu untuk sebuah perbualan. Maafkan aku. Terasa benar janggalnya. Aku berharap andai kita ketemu lagi, maka yang memulakan perbualan terlebih dahulu adalah aku.

     Aku percaya kata-kataku yang dahulu tidaklah dilupakan sama sekali, “Walau siapapun kita, walau di manapun kita berada, pada bila-bila masa, ingatlah, kita pernah bersama di wadah ini.” Masing-masing sudah berada di posisi masing-masing. Ada yang menjadi ketua persatuan, ada yang berkhidmat sebagai ‘unsung heroes’, dan tidak kurang juga yang masih merindui detik-detik bersama dahulu.

     Sejujurnya, warkah ini tidaklah sepenting mana. Hanya sahaja aku ingin berkongsi denganmu. Moga engkau sudi sahaja mendengarnya – seperti dahulu. Aku faham engkau sibuk.

       Engkau sudah menjadi pemimpin yang disegani. Pasti pembacaanmu meluas sekali. Bukankah itu ciri-ciri yang perlu ada pada seorang pemimpin. Maka, pasti engkau selalu mendengar susuk bernama Jamaluddin Al-Afghani. Iya, lelaki pengembara itu. Aku berkenalan rapat dengannya pada awal tahun ini. Itu pun adalah atas jasa sifuku yang sudi mengajarku akan cara-cara untuk mengkaji sesuatu secara tersusun. Terima kasih banyak aku ucapkan.

     Malam terasa menggigit tulang hitam. Ah, guruh sedikit berdentum. Sebentar lagi, hujanlah bumi ini.

    Ayuh. Sebelum aku bercerita, usahlah diharapkan yang cerlang-cerlang sahaja, kerana aku ini hanyalah yang sederhana. Mari. Sediakan secawan kopimu, atau cukup sahaja dengan alunan muzik sederhana sebagai peneman.

     Sebagai pembukaan, aku mencatit tulisan HAMKA yang menyatakan Al-Afghani lahir pada tahun 1839 - ada juga yang meriwayatkan pada tahun 1837 dan 1838. Sekitar itu dasar kolonialisasi sedang merebak dengan meluas. Beliau dilahirkan di Kabul, Afghanistan. Pada tahun 1839 itu, engkau tahu itu adalah tahun di mana Inggeris masuk menjajah Afghanistan. Dan seawal usia mudanya, beliau sudah menyaksikan bagaimana penjajahan yang berlaku, terutamanya di tempat kelahiran beliau sendiri.

     Kata pensyarah aku, ini faktor terbesar yang membentuk seorang Jamaluddin itu. Oh ya, nama sebenar lelaki ini adalah Said Jamaluddin Said Shaftar. Pasti sahaja gelaran ‘Said’ ini kerana hubungan kekeluargaan dengan Saidina Ali bin Abi Talib r.a. Dan Al-Afghani itu adalah gelaran sempena tempat tumpah darah beliau atau dalam Bahasa Arabnya disebut sebagai ‘laqab’. Ada juga yang mendakwa beliau ini lahir di Iran. Tetapi dalam hal ini, aku nyata lebih menyukai pendapat HAMKA, bahawa yang mendakwa itu hanyalah untuk menumpang nama. Itupun selepas beliau menjadi seorang yang terkenal.

     Mari. Kita teruskan pula secara ringkas dengan perjalanan hidupnya. Beliau membesar dengan kesulitan dan kepayahan memerangi Inggeris, sehingga dikatakan pernah beliau menyertai angkatan tentera demi menghalau Inggeris keluar. Beliau juga belajar di India seawal usia 16 tahun, sebelum meneruskan hajatnya menunaikan haji pada usia 18 tahun. Dan sepanjang perjalanannya ke Mekah selama setahun itulah, banyak tempat yang disinggahi beliau. Daripada situlah terus menumbuhkan tekad dalam hati seorang Jamaluddin bahawa kesatuan ummat Islam harus dicapai demi menghapuskan diktator Inggeris.

     Jika ada kopi atau Nescafe di sisimu, minumlah dahulu. Malam masih panjang saat aku bercerita ini. Moga engkau terus mendengar.

     Kemudian daripada situlah beliau terus pulang kembali ke Afghanistan untuk berkhidmat dalam sektor kerajaan, sebelum diangkat menjadi Menteri Besar di Afghanistan sebaik sahaja tercetusnya Perang Saudara di sana. Engkau tahu sejarah sentiasa berulang. Aku kira Jamaluddin ini begitu banyak menyaksikan sejarah penggulingan kerajaan. Betapa beliau ini begitu arif dan pandai membaca politik. Lihat sahaja contohnya bagaimana dua tahun sebelum beliau diburu kerajaan, beliau membuka langkah luas ke Turki, lantas membentangkan ideanya tentang Pan-Islamisme di hadapan Khalifah Uthmaniah waktu itu.

     Aku cukup kagum dengan tindakan beliau yang mensasarkan pusat bagi melaksanakan idea ini secara komprehensif, tidak pada cawangan yang terhad bidang kuasa itu. Ya, Pan-Islamisme itu katanya Prof Thameem adalah sebagai sandaran untuk pemerintah waktu itu kekal di tampuknya. Entahlah. Aku lebih bermint pada buah fikir Jamaluddin itu sendiri. Oh ya, aku terlupa pula akan hal penting ini.

     Pada usia 31 tahun, Jamaluddin telah bertemu dengan Muhammad Abduh. Aku tergesit juga saat Malik Bennabi mengkritik kedua figura kegilaanku ini. Aku baik-baik sahaja dengan kritikannya, kerana aku percaya dia punya ideanya yang tersendiri. Masakan tokoh besar seperti Malik Bennabi mengkritik tanpa asas. Namun aku sentiasa yakin, meski Jamaluddin dan Abduh berentap di medan yang berbeza, mereka masih bernafas pada nadi yang sama. Pasti engkau makruf Jamaluddin itu pencak silatnya pada politik, manakala Abduh pula lebih menekankan aspek pendidikan kerana beliau percaya pembaikan masyarakat itu harus bermula daripada dalam. Ah, bagaimana ini tidak menjadi kegilaan?

     Jamaluddin sering mengganggu lenaku dengan pengalamannya merantau melebihi sepuluh negara dalam jangka hayatnya yang selama 60 tahun itu, antaranya Turki, Mekah, London dan sebagainya. Perancis juga menjadi saksi penting dalam hidupnya, di mana di situlah rahim ‘Urwatul Wuthqa tercetus. Benakku sakit kala memikirkan hanya 18 siri majalah itu berjaya dihasilkan dalam masa 8 bulan. Itulah inisiatif yang diusahakan dua lelaki ini. Menakjubkan sekali bagaimana negara bukan Islam ini membenarkan majalah berunsur Islam diterbitkan di saat Mesir mengharamkan tulisan Jamaluddin ini. Bukankah Perancis itu antara negara yang memberi kebebasan bersuara?

     Sejarah melakarkan bahawa pengembaraan Jamaluddin adalah hasil kritikannya yang keras sepanjang berada di sesebuah negara, lantas beliau dipindahkan ke negara lain lantaran kritikan-kritikannya yang menentang kerajaan. Dari satu negara ke satu negara yang lain. Lihat sahaja bagaimana beliau mengkritik konsesi ekonomi bakau di Iran sewaktu lawatan keduanya ke sana, sehingga membibitkan rasa benci rakyat pada kerajaan. Saksikanlah kawan, pada sela-sela perjuangan itu, pasti ada harga yang perlu dibayar.

     Menentang taqlid juga menjadi antara matlamat perjuangan Afghani. Beliau mengkritik keras mereka yang hanya bertaqlid atau boleh dikatakan sebagai membuta tuli membuat sesuatu perkara tanpa mengetahui hakikat sebenarnya. Seperti yang kita sedia maklum, zaman itu adalah zaman di mana sufisme mengambil tempat, lalu masyarakat menjadi taksub. Malah, beliau seringkali dikritik oleh ulama’ waktu itu kerana pandangannya yang seringkali menggunakan akal untuk berhujah. Hatta, ulama’ Al-Azhar pun tidak menyukai beliau, melainkan sedikit sahaja. Barangkali, inilah antara bahana golongan Ulul Albab.

    Begitulah, kawan. Berbuat sesuatu itu harus punya tujuan dan matlamat yang jelas, agar tidak sesekali dibuat kita sesuatu yang ikut-ikutan. HAMKA juga sempat mencatitkan peristiwa besar yang berlaku antara Afghani dan Syaikul Islam Turki yang dengki kepadanya. Afghani dilabelkan sebagai sesat. Dada-dada akhbar ghairah menyebar berita apabila beliau membandingkan teori falsafah dan nubuwwah. Padahal yang diungkapkan itu semuanya bersandar pada kalam ulama’ dan ilmuwan terdahulu, hanya sahaja dikumpulkan dan ditutur kembali sempena pidato yang berlangsung. Aneh sekali apabla berita ini diputarbelit oleh mereka yang dengki. Alhasil, Jamaluddin terpaksa dipindah keluar atas nasihat Perdana Menteri Turki waktu itu.

     Dalam keributan yang berlaku, masih sempat Jamaluddin mendidik dan mengadakan kuliah santai di kedai-kedai kopi sepanjang hidupnya. Dikatakan beliau akan singgah di kedai kopi untuk bersembang dengan anak muridnya seperti Abduh dan Saad Zaghlul, bahkan membayar harga kopi anak muridnya! Inilah markas yang telah melahirkan siapa itu Muhammad Abduh, Saad Zaghlul dan Adib Ishak. Tidak perlu kepada tempat mewah dan manusia yang ramai, cukuplah hati yang mengingini dan dahagakan pemikiran – seperti kata sifuku-. Jamaluddin tidak berkahwin sepanjang hayatnya. Cintanya tumpah sepenuh hati pada perjuangan ummat. Lantas beliau meninggal dunia pada tahun 1897, saat namanya difitnah atas dasar pembunuhan Shah Iran. Diberitakan selepas kematiannya, buah pemikirannya semakin mendapat tempat dan meluas. Banyak negara telah bangkit melawan penjajah. Kesemuanya bersatu atas nama Islam, tidak nama bangsa. Sedikit sebanyak dari aku tentang lelaki yang menjadi sejarah ini; sejarah yang diingati.

     Sebagaimana yang dinukilkan oleh HAMKA;

     “Hidup dan hidup ada dua. Ada orang yang hidup, sampai tubuhnya di dalam kubur, sampai tulang hancur di dalam tanah, namanya dan hidupnya pun turut habis dengan tubuhnya, tidak menjadi peringatan orang lagi. Sebab hidupnya tidak berhaluan.

     Ada pula orang yang tambah hilang jasmaninya, tambah timbul kehidupannya, tambah digali orang, tambah diperiksa orang, diselidiki dan ditilik. Sehingga kian hidup habis badannya itu, kian hidup namanya.”

     Itulah kawan apa yang ingin aku kongsikan padamu. Harapanku hanya satu; engkau menjadi Afghani Saghir, yang padanya ada wawasan yang jauh dan berpanjangan, tidak berhenti di kampus ini sahaja. Katakanlah kawan, engkau akan terus tetap di jalanmu. Berjanjilah kawan, engkau tidak sesekali kalah. Ungkapkanlah kawan, mimpimu setinggi Jamaluddin Afghani, harapanmu seteguh Muhammad Abduh! Aku pingin mendengarnya, aku pingin melihatnya. 

     Setakat inilah jariku menari. Malam mencecah angka sepuluh. Buku karangan HAMKA pula sedang menanti. Kawan, harapanku tidak sia, kataku tidak sekadar kata. Moga engkau kan baik-baik sahaja.

     Terima kasih kerana sudi meneleku warkahku ini sehingga akhir. Aku memohon maaf atas khilaf yang berlaku antara kita. Sudah aku bisikkan pada hati, apa-apa yang berlaku, kita tetap kawan. Usah risau pada masa hadapan, aku akan terus menyokongmu selama aku termampu. Namun, berhati-hatilah melangkah kawan. Kadang terlalu banyak cahaya akan menyilaukan mata, tidak bercahaya menyesatkan pula.

Sekian daripada aku, temanmu.

Yang benar,
Aku.
10.35 malam,
Khamis, 23 April 2015.

0 comments:

Post a Comment