Friday, July 4, 2014

            Serasa sudah lama tidak berblog. Barangkali diri ini sengaja disibukkan untuk sesuatu yang tidak penting, walhal menulis itu adalah nadi, walhal menulis itu adalah nyawa bagi diri seorang Maryam.

             Mungkin masih belum terlambat untuk saya mengucapkan Salam Ramadhan. Esok sudah Ramadhan ke-enam. Masa begitu pantas berlari, meninggalkan sisa-sisa hidup yang harus kita tempuhi.

              Ramadhan kali ini adalah Ramadhan yang tersedih bagi saya. Kerana begitu banyak berita kematian yang singgah bertandang di telinga. Bermula dengan kawan satu sekolah menengah, arwah Nor Aishah Mohd Nor, kemudian bapa kepada kawan, disusuli pula kawan satu kuliah, Faiz Hassan dan seorang murabbi terkenal, arwah Ustaz Abu Bakar Chik. Dan yang terakhir adalah ibu kepada Nik Nur Madihah; iaitu sehari sebelum tibanya Ramadhan tahun ini. Al-Fatihah. Semuanya hinggap di telinga dalam masa dua minggu sebelum Ramadhan.

                Bercerita tentang Ramadhan, kali ini Ramadhan yang saya lalui sedikit berbeza daripada yang lepas-lepas. Kali ini saya berkhidmat sebagai seorang guru merangkap warden asrama. Hampir sebulan sudah bergelar guru sandaran di salah sebuah sekolah swasta di Hulu Langat, Selangor. Hidup saya sehari-hari dikelilingi pelajar tahun satu hingga tingkatan lima.

            Rupanya menjadi seorang guru ini tidaklah semudah disangka. Jika dahulu hanya sekadar mendengar, “Guru adalah mulia”, “Guru umpama ibu bapa”, dan berbagai lagi tanggapan tentang profesion seorang guru. Kini, saya mengalaminya sendiri – walaupun masih terlalu hijau, paling tidak sedang bergelar seorang guru –.

            Dan benarlah, guru itu adalah air yang tenang mengalir di celah batu, guru jua adalah umpama segelas air yang ditemui di bawah panas terik mentari, dan terkadang guru itu seperti hujan yang menyuburkan tanaman di tanah gersang.

           Selama saya di sini, saya mengenali anak-anak (mungkin adik-adik lebih sesuai) seperti Zarif, Taha dan Syafiq. Semuanya sekitar umur 13 dan 14 tahun. Masing-masing punya cerita yang tersendiri. Mari saya kisahkan kepada anda cerita ahli-ahli syurga ini.

             Zarif adalah seorang anak 14 tahun yang pendiam. Di kala saya mengajar subjek Matematik, dia hanya memandang bisu. Entah faham, entah tidak. Apabila didekati, barulah diajukan persoalan kepada saya, “Ustazah, yang ini macam mana?”

            Selalu diulang-ulangnya “Ustazah, ajarkan saya” di kala saya sedang mengajar pelajar tingkatan satu di luar waktu mengajar. Selalunya saya hanya berdiam di surau; sementara menunggu waktu mengajar. Dan di saat  itulah pelajar-pelajar datang membawa soalan masing-masing. Zarif juga tidak ketinggalan dengan ungkapannya “Ustazah, ajarkan saya”.

               Dan apabila dibelek-belek kertas peperiksaan pertengahan tahunnya, tiada yang betul waima satu soalan pun untuk kertas Matematik 2. Namun saya kagum dengan kesungguhan untuk menjawab soalan tersebut. Beberapa kali saya belek kertas tersebut untuk mengenalpasti kelemahannya, rupanya dia hanya tersilap memahami konsep. Asas-asas seperti operasi tambah, tolak, darab dan bahagi telah dikuasai dengan baik.

Zarif begitu mengajar saya tentang kesungguhan.

            Dan di saat itu, saya yakin bahawa inilah pelajar – dengan ungkapannya “Ustazah, ajarkan saya” – yang harus saya dekati jiwanya dalam masa dua bulan berbaki ini untuk memberi peluang kepada seorang Zarif dalam subjek Matematik. Kerana saya percaya Zarif sebenarnya adalah seorang pelajar yang cuma tidak diberi peluang untuk menunjukkan potensi sebenarnya.

               Saya juga berpeluang berkenalan dengan seorang pelajar bernama Taha. Dia tidak pernah mengenali ibu kandungnya. Ceritanya terbongkar apabila saya mengajar subjek Bahasa Inggeris.Kala pelajar lain sibuk bercerita tentang ibu masing-masing di dalam esei, dia pula termenung panjang. 

            Apabila saya mampir pada mejanya, hanya satu soalan yang terlontar dari bibirnya, “Ustazah, kalau kita tak kenal mak kandung kita macam mana?”. Luluh hati saya kala dia bertanya sebegitu. Mungkin itulah persoalan yang berlegar dalam menung panjangnya. Namun percaya atau tidak, saya begitu terkesan dengan semangatnya untuk belajar. Dia tidak pernah menjadikan ketiadaan seorang ibu kandung sebagai alasan untuk lemah dalam hidupnya. Dia, sentiasa bersemangat di dalam kelas.

 Dia mengajar saya erti kekuatan dan kecekalan dalam hidup.
               
               Rupanya, bersama ahli syurga amat mengajar saya hikmah yang tersembunyi. Bersama mereka amat melahirkan satu kepuasan dalam memberi sekaligus mengajar saya erti cinta yang tersirat.

Erti cinta seorang guru kepada pelajarnya.

Erti harapan, mimpi dan angan.

Erti polos dan kejujuran.

Dan juga erti memberi senyuman dengan senyuman.

Sebagaimana mentari yang tidak pernah jemu untuk terbit dan terbenam setiap hari – meski manusia tidak pernah berterima kasih kepadanya –, seperti itu jualah hakikat seorang guru. Dia akan tetap memberi dan mengasihi anak-anak pelajarnya meski mereka bukanlah anak yang dikandung sembilan bulan mahupun dari benih mereka sendiri.

Kerana pada seorang guru itu, akan engkau dapati erti memberi yang cukup luas untuk diterokai!




0 comments:

Post a Comment