Thursday, April 20, 2017

Rupanya kita takut pada sebuah kehilangan. Rupanya hati kita tidak pernah merelakan. Rupanya kita masih sahaja seorang kita yang biasa. Seorang yang seringkali lupa di mana kunci motorsikal diletakkan; atas meja atau sudah tersangkut. Kita masih menyukai tudung merah itu dan seringkali gemar pada air teh yang sedang-sedang sahaja rasanya. Kita rupanya masih belum melupakan bagaimana rasanya berhadapan dengan matahari sedang tenggelam dan bagaimana perasaan apabila makan bersama sambil mencicip kopi putih.

Segalanya adalah tentang kenangan. 

Hari ini adalah hari baru yang mana kita mula mengerti seorang anak lelaki bongsu yang terlalu manja dan terlalu halus hatinya. Dia akan menangis saat kita mula memaksa dia melakukan sesuatu yang tidak disukainya dan saat dia tidak mampu mengekspresikan hatinya. Dia juga pandai meminta maaf dan berterima kasih kembali andai tidak sengaja meninggikan suaranya pada kita. Dia faham bahawa kita sudah terlalu penat seharian berperanan sebagai seorang ibu di rumah. Dan dia tahu, kita selalu ada sebagai tempat untuk dia meluahkan perasaan.

Life-shifting.

Life-shifting adalah satu fasa perubahan menerima orang-orang baru secara total. Memahami bahawa umi sifatnya adalah seorang yang terlalu alah pada debu dan anti pada rumah yang bersepah. Mengetahui bahawa kita harus menjadi orang yang terlalu sabar saat ada di antara adik-adik yang meninggikan suara. Dan mengetahui bahawa kita adalah orang yang harus menangani segalanya dengan bijak dan berhikmah.

Sekurangnya kita harus bersyukur hari ini masih mampu melihat mereka gembira dan ghairah dengan persekolahan mereka. Dan menjadi sebaik-baik orang mengetahui bahawa kita punya keluarga. 

Penyatuan tidak pernah mudah. Ia hanya akan mudah dengan hati yang lapang dan jiwa yang terbuka. Masing-masing menerima kekurangan dan belajar memahami serta mencari titik pertemuan. 

Mungkin keterlaluan jika kita katakan kita tidak pandai berkawan kerana kita hanya pandai berkeluarga. Keluarga adalah nilai utama kita. Jika nilai yang satu ini terjejas, maka seluruh kehidupan akan ikut terjejas. 

Kita mengambil masa selama dua tahun menstabilkan keluarga yang bermula dari kosong. Kita seakan-akan bukan lagi perempuan, tetapi hanyalah jasad yang perempuan. Kita sudah terlalu tahu bahawa sekian banyak tanggungjawab yang terpikul sebagai seorang kakak dan seorang anak perempuan sulung. Bukanlah kita menagih simpati, cuma hanya sahaja kita diberi ruang dan sokongan, maka kita akan terlalu gembira adanya.

Kita hanya mampu meminta maaf atas hak-hak yang tidak tertunaikan. Kita juga sebenarnya sudah lama merelakan orang yang kita cinta pergi. Kita sudah penat melawan hak sendiri. Kita sudah terlalu lelah mengatakan 'dia aku punya' walaupun secara hakikatnya memang benar dia adalah milik kita. Kita sudah menjadi orang yang berputus asa.  

Kita sudah pandai berkata, 'Pergi dengan segera. Aku sudah terlalu terluka.' Walau pada hakikatnya dia tetap kita sayang dan cintai selamanya. 

Kita juga sudah menjadi orang yang sudah tidak bisa dipujuk-pujuk lagi. Kita sudah berubah menjadi seorang yang tidak merelakan lagi dia berbuat baik kepada kita kerana kita punya satu ingatan yang kuat pada dia. Dia kita anggap sebagai orang yang menghancurkan kita secara perlahan meskipun pada zahirnya dia adalah orang yang bersama kita sedari kecil lagi.

Kita sudah terlalu kecewa.

Angin, bawa aku pergi segera.
Aku penat dan lelah.
Cepatlah masa.
Biarkan derita perasaan ini berlalu.
Aku sudah tidak mahu melukai lagi.
Pergi jangan datang lagi.
Cepatlah masa.
Usai di sini aku mahu berhijrah lagi.
Aku mahu keluar lagi.
Kerana aku bukanlah sesiapa,
hanya seorang yang terluka dengan kehidupan.

Maafkan aku hati.
Di sebalik engkau yang terlihatkan cukup ampuh,
kau sebenarnya terlalu rapuh.
Cepatlah hikmah, datang muncul,
aku terlalu sakit dan terhiris.

Maafkan aku, hati
kerana tidak mampu bertahan untuk kali ini.
Maafkan aku, hati
kerana tidak mampu bersyukur untuk sekali ini.
Maafkan aku.

Next
This is the most recent post.
Previous
Older Post

0 comments:

Post a Comment