Wednesday, December 4, 2013




Banjir.

Moga baik-baik semuanya. 

Hujan yang pejur menggalakkan lagi banjir.

Teringat satu peristiwa.
Dalam perjalanan ke rumah arwah nenek, di Setiu.
Bersama adik dan abah.

Waktu malam yang gelap ditambah kilat. Hujan yang lebat sedikit sebanyak mengganggu perjalanan.

Tiba di simpang jambatan pendek, abah berhenti memandu. Air melimpah. Ku kira setengah meter lebih kurang.

"Macam mana ni bah? Bahaya nak lalu" Aku mendesis. Memandang penuh perhatian. Dalam hati ada debar.

Abah terdiam. Dan resah. Kerana abah tahu jalan yang lagi satu itu lagi merbahaya. Tanahnya lagi rendah dan memang terlalu dekat dengan sungai. Pasti air naik lebih tinggi.

"Tak apa, kita redah" Gumam abah. Spontan aku memandang abah.

Aku berdebar. Hanya mampu berdoa dalam hati. Moga tiada apa-apa berlaku.

"Bismillah"

Waktu itu kami menggunakan Kenari.

Kereta bergerak perlahan. Meredah air yang agak kuat arusnya. Lagi, dan hampir 200 meter sebelum jambatan pendek itu..

Tiba-tiba, hujan mengganas. 'Allah'

"Abah, lebat abah!" Aku menjerit panik.

Abah resah. Kereta diberhentikan tiba-tiba.

"Apa abah nak buat ni?!" Aku hampir menangis.

Aku dapat rasakan kereta dihanyut arus. Perlahan, namun sudah cukup untuk memberi isyarat kami kini dihanyut arus. Di sebelah jalan, paya. Ku kira sudah cukup untuk menenggelamkan kereta yang sebiji ini.

Ah, mungkinkah kisah kita terkubur di sini, abah..

Dan esok keluar berita "Tiga sekeluarga dihanyut arus". Sudah.. Okey, sambung cerita.

'Allah, macam mana ni?' Hati berdetik.

Sejenak, tiba-tiba abah menjerit "Tolong, tolong, tolong", sambil melambai-lambai tangan dari tingkap. Mengharap ada yang lalu. Mengharap keajaiban akan berlaku.

Hanya kami. Hanya kami di jalan itu.

Malam yang pekat, lorong yang gelap tanpa lampu jalan. Hanya bersinarkan kilat yang sesekali menjengah.

Aku mula memikirkan mati. Adik di sebelah menangis.

Tiba-tiba abah terdiam.

Gear mula dimasuk, minyak ditekan sekuat hati. Sekali, dua kali.

Kereta mula mendapat rentak. Perlahan melawan arus.

Dan tiba di hujung jambatan.

Jauh dari jambatan, air mula tidak kelihatan.

Abah berhenti di tepi jalan. Semua membisu. Dan dalam debaran yang amat sangat. Aku lagilah.

Sejuk. Teramat.

Alhamdulillah, semua selamat tiba di rumah nenek.

Kini, andai hujan datang lagi dan abah melalui jalan seperti itu, mahu atau tidak, abah pasti kupaksa berpatah kembali.

Tapi bagus juga sesekali melalui peristiwa begini, barulah ingat mati. 

:: Mati itu pasti ::


Next
Newer Post
Previous
This is the last post.

1 comments: