Tuesday, April 28, 2015

Kepada:
Kawan

----------------------------------------------------------------------------------------------

Daripada:
Aku

Assalamualaikum wbt.

     Aku tidak pasti surat-surat ku ini akan dibaca olehmu atau tidak. Tetapi aku sentiasa percaya menulis itu adalah satu terapi dan satu kelegaan selayaknya ia. 

     Tadi kita bertemu. Walau hanya di hujung mata, itu sudah mencukupi barangkali. Aku tidak sempat melunaskan janji itu; menegurmu yang pertama. Ah, ini kerana tadi bersimpang siur manusia. Lalu masa yang sedikit itu hanya berlalu dengan keriuhan yang kian hilang. Ini semua salah masa! Tidaklah, aku hanya bergurau. 

     Kawan, engkau tahu manusia ini seringkali menyalahkan takdir. Seringkali aku tertanya sendiri; "Bagaimana sepatutnya dunia ini berfungsi? Acuan yang bagaimana sepatutnya menjadi panduan? Sistem nilai yang bagaimana?" Lihatlah kawan, bagaimana dunia sedang sakit. Manusia yang tertindas, peperangan yang berlarutan, institusi kekeluargaan yang rosak, kelekaan remaja yang meningkat ditambah dengan pelbagai fahaman yang menular. Persoalan-persoalan begini sangat menyesakkan dadaku sendiri. Ia terlalu meresahkan. Lantas aku ajukan ini pada seorang temanku.

Barangkali jiwaku juga sedang bergolak, lantas membibitkan serpihan-serpihan ini. 

     Aku menghujam dia dengan persoalan-persoalan ini. Dia terkelu barangkali. Dan di akhirnya dia memberi beberapa kata yang aku kira membuat aku terfikir kembali.

"Dunia ini bukan hitam putih."

"Maknakan hidup dengan konklusi sendiri."

"DIA ciptakan kita ini istimewa."

"We have our own ways to find the answer."

"Terima dan cuba memahami."

     Dan banyak lagi. Malam itu hujan. Hatiku turut hujan dengan kata-kata ini. Persoalan-persoalan yang berselirat terlalu membebankan seorang aku. Mungkinkah kerana kerisauan itu? Kerana itu apabila aku cuba kembali kepada kaedah sulbah yang diajarkan Hassan Al-Banna, tidak dapat tidak ia berbalik kepada pembentukan individu yang bertunjangkan kepada sepuluh garis muwasofat tarbiyyah yang digariskan. Usah bertanyakan aku. Aku lupa apa yang sepuluh itu. Engkau tanya sahaja Inchik Google itu. Atau buka sahaja buku Al-Banna bertajuk Risalah Ta'lim itu.

     Seperti kita maklum, Islam itu berteraskan tiga perkara; Aqidah, Feqah dan Akhlak. Atau juga disebut dengan Iman, Amal dan Ihsan. Bermula dari perkara fundamental sehinggalah ke aspek sosial. Bagaimana daripada perkara dalam akan membentuk seorang individu. Kerana itulah, jika diimbas kembali, Al-Ghazali sangat menekankan peranan hati; hati yang punya nafsu lawwamah(marah) dan nafsu mutmainnah(tenang). Lihat juga hadis Nabi saw tentang itu.

     Usah ditanya kenapa aku bicarakan ini padamu dalam kadar aku mengetahui ini semua sudah engkau arifi. Sebenarnya aku dihempuk dengan semua ini. Bukankah setiap perkara yang kita belajar itu harus kita refleks kembali kepada diri sendiri? Itulah, seperti kata seorang ilmuwan, "Makin aku belajar, terasa makin bodoh." Memang!

     Aduh, sudah jauh ke dalam. Baik, ini aku utarakan kembali keresahan yang mendekam dalam. Harus bagaimana dunia ni? Oh ya, Kant pernah mengatakan dunia ini sebenarnya hanyalah ilusi. Begini, katanya realiti yang ada ini hanyalah ilusi. Dunia yang sebenarnya terbahagi kepada dua iaitu; Noumena dan Phenomena. Aku tidak berhajat menerangkan ini kepada engkau. Tetapi secara ekstraknya, dunia manusia ini bukanlah sebenar-benar dunia. Lihatlah dunia ini daripada spektrum yang berbeza.

     Berbalik kepada soalan pokok, aku cukup suka dengan perkara yang pernah sifuku sebutkan dahulu. Ia berkenaan Surah Al-Fatihah. Dia mengupas  secara detil ayat-ayat surah tersebut. Bagaimana ayat pertama itu dimulai dengan syukur, kemudian diikuti dengan pujian kepada Tuhan. Seterusnya surah ini dilanjutkan dengan Hari Pembalasan. Engkau tahu mengapa 'hari pembalasan'? Kerana ia adalah destinasi akhir kita sebagai seorang manusia. Lalu ayat seterusnya berbicara tentang bagaimana pengharapan dan pergantungan penuh kepada-Nya. Di akhir surah, ia ditutup dengan doa supaya ditunjukkan jalan yang benar dan dijauhkan dari jalan-jalan yang tidak benar.

     Baik, mari kita nisbahkan ia kepada kehidupan seharian. Aku cuba membawa intipati ayat ini dalam skop seorang insan. Haruslah hidup ini bermula dengan syukur waima dalam apa-apa hal, pujian kerana nikmat yang tidak terhitung meski seringkali kita berbuat dosa. Ini tentang ayat pertama dan kedua. Ayat ketiga ini cukup terkesan padaku, sebagaimana ia menekankan tentang destinasi dalam kehidupan; iaitu perancangan jangka panjang. Tidak hanya dirancang hidup selepas mati, tetapi hidup di dunia ini juga. Lalu setelah jelas matlamat hidup, haruslah diiringi tawakkal dan doa. 

     Nah, lihat, bagaimana Surah Al-Fatihah ini jika ditekuni akan memberi impak kepada hati dan diri. Cukuplah Al-Quran sebagai peneman. Maafkan aku terlalu banyak bicaranya. Segala-galanya terlintas kala aku mendengar Yiruma ini. Barangkali ini lah sistem nilai yang cuba diacu Al-Quran. Agaknya beginilah dunia harus berputar pada paksinya; manusia jelas akan peranan, matlamat dan jelas worldview - perkaitan antara Pencipta dan makhluk ciptaan lain. Ah, aku bertanya, aku sendiri menjawab. Bodoh juga terasa-rasa. Sepatutnya aku merujuk mereka yang terdahulu, kan? Bukankah sudah DIA katakan pada setiap yang berlalu itu ada ibrah dan pengajarannya yang harus diambil oleh kita?

     Oh ya. Akhir kata, ini, semalam temanku, Anas menghubungi; meminta sesuatu. Sesuatu yang bernama kekuatan. Katanya, pada saat-saat tertentu dia terasa-rasa hanya ingin melarikan diri daripada semua perkara. Ah, jiwa kecil itu barangkali takut pada kenyataan. Hadapilah ia! 

    Lalu, tiada yang mampu aku berikan melainkan ini;

'Terkadang pada secebis rasa yang masih tersisa, di situlah kekuatan kan menumbuh rasa. Seringkali hatiku berkata, kelemahan itu adalah kekuatan. Jadi di mana harus bermula? Sejenak hati  berbisik; 'Di hati. Kekuatan itu ada pada hati yang bertali pada-Nya. Kekuatan itu ada pada setiap ujian yang diberikan-Nya. Kekuatan itu ada pada manusia sekelilingnya. Kekuatan itu ada pada senyum rasanya.'

    Aneh. Hati yang cuba memberi kekuatan pada hati lain! Entah, aku pun tidak mengerti. Ah, bukankah itu seimbang namanya? 

Sekian dahulu daripada aku, temanmu.

Yang benar,

Aku.
2.36 petang,
Selasa, 28 April 2015.


0 comments:

Post a Comment