Friday, April 10, 2015

Seringkali saya tidak berupaya menahan diri daripada berbicara tentang abah. Pesannya, gayanya, caranya, resahnya, gembiranya semuanya selalu bermain di kepala.

     Sukar saya gambarkan siapakah abah saya. Abah bukanlah penulis terkenal seperti Buya Hamka. Abah bukanlah pendakwah terkenal seperti Imam Muda Asyraf, tidak pula abah ini seorang tokoh sederhana seperti mana-mana Tuan Guru. Dia hanyalah abah saya. Yang mencuri baca diari tingkatan empat saya. Yang tidak mampu melihat anaknya ini bermerah mata menahan tangis. Yang dipeluknya di tengah-tengah hujan pada kala saya tidak langsung faham maksud pelukan itu. Yang di hatinya mengerti sikap anak-anaknya bagaimana. Hingga satu saat menjadi cita-cita saya untuk membina sebuah muzium untuk abah; mengenang seorang abah.

     Abah punya tubuh tegap, berkumis nipis, dahinya sedikit luas, rambutnya semakin jarang, ubannya semakin membiak. Abah bukanlah sesiapa pada mata orang lain. Tetapi di mata saya adalah bintang. Abah mengajar saya bagaimana menjadi seorang yang rendah hati - walaupun masih berusaha keras ke arah itu-. Abah mengenalkan saya pada P Ramlee. Dialog-dialog semua dihafalnya.  

     Pernah satu ketika sewaktu kami hidup susah, keluar ke bandar adalah satu kegembiraan, apalagi keluar beramai-ramai. Sekarang, kami sudah membesar. Abang sedang menjalani pengajian Master, saya masih di peringkat Ijazah, adik-adik pula lepasan SPM, PMR, tingkatan satu dan empat tahun. Yang masih kecil itu tidak sempat merasa bagaimana apabila abah memberitahu, “Minggu depan kita ke Kolumpo!” Dan selepas itu, seminggu saya tidak berhenti senyum.

     Barangkali yang saya kenang ini adalah masa lalu. Masa lalu yang akan saya simpan untuk anak-anak pula. Tidak, saya tidak akan lupa pada susuk abah ini. Abah boleh saya sifatkan sebagai ayah penyabar dan penyayang. Abah sukar mengatakan “Tidak” pada kami anak-anak. Namun ada masanya abah bertindak tegas. Sepertinya kes abang saya dirotan kerana tidak hadir solat Jumaat sehingga tiga kali. Dan saya masih ingat, selepas berbirat di punggungnya, abang diam terkaku tertiarap di atas sofa. Waktu itu makan tengahari. Abah marahnya hanya sekejap. Terus dipujuk abang untuk makan bersama.

     Kisah-kisah sederhana yang ada dalam lipatan seorang saya. Mungkin saya harus belajar tanpa abah di sisi. Mengenangkan akan adanya perpisahan membuat hati saya takut sendiri. Saya cukup takut pada hati yang tidak mengerti bahawa perpisahan adalah untuk mengajar kita berdikari. Hadapilah, hati. Perpisahan menyakitkan. Sembuhkanlah ia dengan janji Tuhan. Bukankah sudah Tuhan katakan kematian itu adalah kehidupan di satu dimensi lain? Dan jadikanlah ia sebagai kematian yang menghidupkan.

     Mengenangkan detik-detik perpisahan inilah membuatkan saya lebih menghargai seorang abah. Abah yang kenal akan keras kepala saya, tahu lembut hati saya, faham alir tangis saya dan sentiasa ada untuk saya.

     Meski bergunung-gunung sayang saya pada abah, saya harus sedar dan percaya bahawa sayang dan cinta itu harus disandarkan pada Tuhan jua. Bukankah jika Dia mengurniai kita seseorang yang sebegini rupa haruslah ungkapan terima kasih itu kembali pada-Nya? Kata keramat itu semestinya kembali kepada pemberi anugerah itu sendiri.


     Selesailah cerita abah. Setiap anak mungkin akan mengatakan, ayahku adalah ayah teristimewa. Maka untuk abah, abah adalah insan paling berharga dalam hidup saya. Terima kasih tidak akan pernah cukup untuk mengungkapkan rasa ini; rasa menjadi seorang anak kepadamu, abah.

Abah, terima kasih! 

0 comments:

Post a Comment