Wednesday, June 17, 2015

Dunia semakin mencabar. Tidak semua memiliki pandangan nilai seperti yang kita idamkan. Ada manusia, kerjanya hanya mengambil kesempatan. Ada manusia kerjanya hanya menindas orang. Mengapa begitu, teman? Bukankah sudah aku katakan dunia ini kejam dan tidak adil? Selalu aku lihat mereka yang ditindas adalah golongan tidak berkeupayaan. Seringkali juga yang baik itu menjadi mangsa. Dalam dunia serba gila yang punya kepercayaan yang semakin menipis seperti ozone layer ini, seakan kebaikan itu sudah hilang nilainya. Seakan agama itu sudah tidak wujud gayanya. Bukankah agama yang seharusnya membimbing manusia?

Dunia kita tenat, kawan. Pernah engkau ditipu hidup-hidup sama peruncit kedai? Atau engkau dipaksa menggugurkan pengajianmu sebaik sahaja kematian ayah tersayangmu? Atau mungkin engkau ini anak daripada sebuah rumah tangga yang berantakan? Atau engkau mungkin adalah mangsa penderaan fizikal? Pernah aku ketemu sama itu seorang kawan yang kematian ayah. Dia anak perempuan sulung dan berusia 23 tahun waktu itu. Engkau tahu, matanya berkaca-kaca kala dia bercerita. Dikatakan padaku, "Akak tidak apa-apa. Baik-baik sahaja." Tidak, kawan. Itu tandanya dia tidak baik kondisinya. Lalu aku hanya duduk diam di hadapannya, menghabiskan makanan berbaki dalam pingganku. Sesekali aku mencelah bertanya soalan tentang keluarganya.

Kawan, matanya bercerita sebelum suaranya tiba di kelopak telingaku. 

Satu persatu. Naik dan turun. Sebelum dan selepas kematian ayahnya. Dia bekerja di kampus tanpa pengetahuan ibunya. Seringkali dia berpuasa kerana ketiadaan wang untuk membeli makanan. Pernah dia bekerja di musim peperiksaan dan akibatnya keputusannya merudum. Dia letih. Letih fizikal, dan mental. Sewaktu aku ketemu dia, mukanya pucat, namun dia tetap cuba tersenyum. Katanya itu semester terakhir dia untuk membaiki pointer CGPA. Jika tidak mampu naik, dia akan terus dibuang universiti. Kawan, ia sangat menyedihkan.

Kawan, usah bilang yang indah-indah sahaja hidup ini. Ia realiti. Usah bercakap sesuatu yang mudah di bibirmu. Sesuatu yang tidak engkau rasai. Aku juga kelu saat berhadapan dengan kakak itu. Apa engkau sangka aku ini sekuat dan setabah dia? Usah mudah menghukum, kawan. Kita tidak berada di tempatnya. Kita tidak merasai susahnya dia sebagai anak sulung dengan ibunya yang tidak bekerja. Kita tidak tahu apa rasanya menanggung adik yang berderet.

Usah bilang yang mudah-mudah, kawan. Sampai masa engkau akan berada di tempat yang sukar, tiada manusia yang mampu memahaminya waima seorang pun kecuali DIA.

Engkau tahu, kawan. Di sebalik cerita yang gersang dan memedihkan jiwa ini, di situlah sukarnya untuk kita mencari jiwa yang bernilai. Jiwa yang hidupnya adalah untuk berbakti kepada manusia lain. Menyirami sedikit harapan dalam putus asa yang tidak berkesudahan, memercik cinta yang berbaki agar terus hidup di laman hati. Kawan, putus harapan itu penyakit yang  berbahaya. Tanpa harapan, matilah jiwa, sengsaralah dunia. 

Pernah engkau terfikir, kawan? Homeless yang terbiar walaupun kudratnya masih kuat? Manusia yang membunuh diri sewenangnya? Orang yang hidupnya sudah tidak ingin tersenyum? Kerana apa? Kerana harapan sudah tiada.

Harapan itu ada selagi adanya rasa percaya, yakin dan bersyukur. Masih tidak aku lupa akan nasihat umi. Kata umi, hidup ini biarlah berpaksi pada empat perkara, syukur, sabar, hikmah dan iman. Ia mungkin jalan pintas, dari sudut yang lain inilah ubat-ubat yang kita harus ada untuk meredakan sekeping hati. 

Engkau tahu, kawan? Tuhan itu sentiasa mendengar, melihat dan mengetahui hasrat hatimu. Cuma terkadang kita yang terlupa. Aku juga seringkali begitu. Aku terlupa Dia mendengar pada saat doaku tidak dimakbulkan. Walhal aku sedar doa aku akan dimakbulkan seiring dengan kondisi aku dan cara-Nya. Pernah aku terlintas mengapa hidup ini kelihatan seperti tidak adil. Aku termenung dan mencari, rupanya hidup ini bukannya tidak adil melainkan begitu banyak rahsia yang belum terungkaikan dan belum dituturkan sekalian alam. Engkau tahu mengapa? Kerana kita hanya manusia dan bukan Tuhan. 

Engkau diam-diam sahaja sementara mendengar aku berleter ini. 

Esok sudah puasa. Engkau bagaimana? Puasamu di mana? Aku di UIA ini. Malam ini sudah terawih. Engkau pasti bingung mengapa aku masih sendiri di sini menghabiskan masa di UIA kala yang lain sudah berada di rumah masing-masing di cuti semester ini. Aku kerjalah. Kerana itu aku masih di UIA. 

Okey. Setakat itu sahaja aku ingin membebel. Terima kasih dengar aku berleter.

The fact is, I'm damn sick of this world and our people as well.

Tapi engkau harus tahu satu perkara, di sebalik cerita-cerita menyesakkan jiwa ini, masih ada insan berhati mulia. Inginkah engkau menjadi salah seorang daripadanya?

Jadilah mereka yang bernilai dan kaya jiwanya.

Engkau tenung sebaiknya perkataan ini; nilai, kerana aku masih sahaja mencari erti sebenar 'nilai' walaupun selepas dua tahun sudah mendengar jahitan aksara ini; NILAI. 

0 comments:

Post a Comment