Sunday, June 7, 2015

Kehidupan sering silih berganti. Semalam dirasakan hari yang malang. Hari ini dirasakan sedikit baik. Siapa pula tahu esok apa akan berlaku. Begitupun, beberapa perkara sering sahaja berlegar di sekitar fikiran saya, menyerap jauh ke dalam, membuat tidur saya tidak lagi lena. 

Saya mengalami 13 tahun yang agak perit bagi seorang remaja. Ya, saya akur setiap daripada kita punya kisahnya yang tersendiri. Saya juga begitu. Betapa hati saya yang memberontak membunuh diri saya secara perlahan dan berpanjangan. Ia begitu senyap. Sehingga sejak dua menjak ini (setahun dua) baru saya sedari perkara sulit ini. Ah, lambat sekali mengenal perubahan jiwa yang bergolak ini.

Saya tidak punya ruang yang benar untuk bercerita perkara-perkara jauh ke dalam jiwa melainkan beberapa kawan yang terlalu rapat. Itupun kadang-kadang masih sahaja di permukaan, dan tidak sebenar-benar cerita. Aduh, maafkan saya. Entah mengapa malam ini sepertinya perlu saya menulis sebegini. Biarlah pembaca setia tahu siapa saya. Malu. Malu bercerita tentang sisi kehidupan sendiri. Tetapi moga-moga dengan sedikit catitan ini, pada sepuluh tahun akan datang -jika masih bernyawa-, setidak-tidaknya saya mampu mengingati salah satu babak remaja saya yang kelabu warnanya. 

Peristiwa 13 tahun berulang-ulang. Tidak ingin saya rincikan peristiwa itu. Cukup sekadar pembaca tahu bahawa saya ini anak kedua daripada tiga adik beradik kandung yang lahir dari ibu dan bapa yang bercerai. Perceraian pada satu sisi sangat memusnahkan jiwa anak-anak jika tidak kena caranya dan tidak tepat perkiraannya. Terlalu syukur untuk saya katakan bahawa saya punya seorang abah yang terlalu baik, bertanggungjawab, lemah lembut dan memahami jiwa seorang anak. (Tiba-tiba rasa syahdu dengan iringan instrumental flute daripada Kenny G).

Jadi, 13 tahun yang pernah berlalu dalam hidup saya itu membentuk saya yang pemendam; tidak mampu saya luahkan apa yang berselirat dalam fikiran sendiri. Saya belajar hidup berdikari. Dalam masa yang sama, saya cuba memperbaiki kehidupan saya sebagai seorang anak perempuan, kakak, adik dan pelajar terutamanya. 13 tahun, kawan. Dan saya mencuba tanpa putus asa. Dengan harapan dan doa, saya gagahkan hati, saya kentalkan jiwa, saya pekakkan telinga. 

Saya cuba memahami dan menerima hakikat bahawa jiwa saya jiwa yang lembut. Jadi, setiap perkara dalam tempoh 13 tahun itu cuba saya toleransikan dan mencari hikmah di sebaliknya. Tuhan, bergunung-gunung hikmah yang saya temui. Dengan apa yang berlaku, saya menjadi lebih matang. Saya menjadi lebih bertimbang rasa. Saya menjadi lebih sensitif dan memberi pada orang sekeliling. Saya menjadi pelajar paling ceria dalam kelas. Paling pandai pun sayalah, paling banyak bertanya pun sayalah. 

Sehinggalah genap tempoh 13 tahun itu, putus asa mula mengambil tempat. Saya mula pandai berfikiran negatif. Saya mengabaikan tanggungjawab yang terpikul. Saya mula melepaskan beban dengan tidak menghiraukan segala yang berlaku di sekeliling. Seingat saya keadaan ini bermula di Petaling Jaya sewaktu tahun dua. Ini sungguh tidak enak, kawan. Sekali imbas, saya kelihatan benar-benar seperti orang putus asa walhal bukankah sudah dikatakan di dalam Al-Quran;

12:87

Maksud: "Wahai anak-anakku! Pergilah dan intiplah khabar berita mengenai Yusuf dan saudaranya (Bunyamin), dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir".

Ia sangat tidak matang. Dan ia hanya berlaku beberapa tahun yang lepas. Ia tindakan yang tidak wajar sebenarnya. Saya ingin melarikan diri daripada masalah, sedangkan bukankah ayahanda kedua saya (Ustaz Radhi) seringkali menasihati;

"Hidup kena berani!"

Saya sedar dan tahu itu, tetapi saya lebih menurutkan hati sendiri. Saya mula reti bersangka buruk. Saya mula pandai mementingkan diri. Saya mula bertanya pada Tuhan. Dan terkadang saya meragui takdir yang datang menemani. Hati ini memberontak dan ia tidak didengari orang. Lantas untuk beberapa detik dalam tahun-tahun yang lepas, begitu saya mengikut hati yang kelam ini. Ia satu penafian, kawan. Ia satu tindakan hati pengecut. Ia tidak pantas begitu. 

Sehingga malam ini, saya menyedari escapism is not the best actionLife is a choice, either I get to move on or continuously stuck in my life. Sehingga hadir mereka yang mengetuk saya. Hati saya juga mengetuk hati yang satu lagi. Peristiwa demi peristiwa. Hati yang dulu bertekad memberontak sedikit demi sedikit lembut dengan kelembutan abah yang setia dengan rasa 15 tahun dahulu. Tidak ingin sekali saya nukilkan di sini, tetapi cukup hanya pada kata bahawa saya tersangat yakin bahawa abah saya seorang yang sangat setia pada umi. (Dan setiap hari saya berdoa agar dikurniai seseorang seperti abah saya; lembutnya, tegasnya, tajam pemikirannya). 

Dan sehingga saat ini kawan, saya akur tanggungjawab itu harus dipikul kembali. Berdiam diri tidak membuahkan hasil walau sepicing pun. Berhenti mencuba bukanlah sesuatu yang baik. Dan ingatlah, pada setiap perkara itu adanya hikmah.

Abah, terima kasih menjadi abah untuk seorang anak yang pendiam ini; di hari-harinya dia berharap abah sentiasa di sisi. Di hari-harinya selalu berharap mampu memperuntukkan masa untuk dirinya dan abah. Di hari-harinya selalu berimpi agar menjadi anak yang terbaik untuk abah. Di hari-harinya selalu berterima kasih dan terharu dengan abah. Di hari-harinya, dibajai sayang untuk abah. Di hari-harinya, seringkali menyanjungi abah sebagai lelaki setia.Dan di hari-harinya juga selalu terlintas  di fikiran akan perpisahan abadi yang perit. 

Dan Tuhan, terima kasih menghadiahi saya seorang abah dan insan-insan berjasa membentuk diri ini sehingga kala ini. Saya bukanlah sesiapa. Saya hanya tahu dan sedar bahawa saya baru sahaja ingin belajar tentang kehidupan. Terlalu muda dan tidak tahu apa-apa. Dan, mintalah kepada Tuhanmu, pasti Dia makbulkan tanpa mengira apa cara pun ia. 

Sekian. Maafkan saya untuk entri yang agak beremosi ini. 


0 comments:

Post a Comment