Saturday, August 8, 2015

Hari ini dia datang. Matanya basah air mata. Lagi. Ketemu saya, dia akan menangis. Dan saya seperti selalu, seperti biasa; gelak dengan airmatanya. Gelak bukan kerana ketawakan dia, tetapi gelak kerana menyembunyikan sebak di dada. Saya tahu dia tidak boleh melihat orang lain bersedih kerana air mata yang tumpah dari tubirnya. Lantas hanya senyum dan gelak mampu saya lakukan. Paling tidak saya akan menggosok-gosok belakangnya. Dan paling tidak saya akan memeluk erat dia dan berkata, "Ya, kakak faham."

Dan dia akan mula menangis lebih banyak lagi. Dia selalu begitu. Pura kuat di depan orang lain, hakikatnya saya tahu dia bagaimana. Hatinya lembut, seperti kapas. Dan dia kaya dengan cinta. Betapa saya bertuah dikurniai adik yang rapat sepertinya. Hari ini, katanya dia sudah lama tidak menangis. Walhal, minggu lepas ketemu saya, baru sahaja menangis. Aduh, ada-ada sahaja. 

Yang selalu memarahi saya dialah. Yang selalu saya kutuk, dialah, Yang selalu saya puji, dialah. Dia begitu melengkapi saya. Pendapatnya selalu bercanggah dengan saya, terutamanya urusan keluarga. Untuk dia saya selalu ada masa. Untuk dia saya rela keluar daripada mesyuarat persatuan. Untuk dia, saya sanggup tidak hadir ke seminar. 

Terima kasih selalu ada. 

0 comments:

Post a Comment