Tuesday, June 3, 2014


Seorang abang; dialah musuh, dialah kawan.

             Dia mungkin lupa ketika berumur tujuh tahun, dialah yang berebutkan botol susu dari saya. Dialah yang memecahkan jam kaca dinding Mak Teh Dah kerana kaki emas dan bolanya. Selalu juga insan ini membelikan saya aiskrim di hadapan rumah ibu angkat kami. Waktu kecil, dia amat manis dan sedikit feminin, sehingga selalu sepupu-sepupu perempuan pakaikan dia dengan pakaian perempuan (gaun, blous dan sebagainya).

             Perlahan waktu bergulir. Dialah insan yang mengajar saya ponteng sekolah pada hari Ahad semata kerana Dragon Ball. Masih saya ingat bagaimana terujanya sekeping hati kanak-kanak tika abang saya membawa pulang buku komik Doraemon dan Detektif Conan - yang sehingga kini menjadi kegemaran-. Dia mula mengajari saya apa itu 'Zombies vs Plant' dan PS2.

            Dia paling tidak tahan jika saya mengusik kereta kawalan jauhnya yang berwarna biru itu. Dia juga pantang dicabar. Abah pernah mencabarnya memakan cabai (lada jarum bak kata orang Terengganu). Dan dia menyahut. Cabai berwarna hijau - pedas, itulah yang digigitnya semata-mata. Itulah dia. Dia mengenalkan kami sekeluarga siapa Cikita Dini Auliya, seorang manusia yang unik namanya. Walau sehingga hari ini saya tidak mengenali susuknya, paling kurang abah selalu menyebut nama itu setiap kali ke sekolah abang -SMSD-.

            Dan pada saat abah merotannya kerana dia ponteng solat Jumaat untuk kali pertama dalam hidup, saya hanya mampu memandang sayu. Hati abah tidak begitu. Abah kalah dengan anak-anak. Terus sahaja dipujuk abang yang diam tidak berketik di atas sofa. Memujuk untuk makan tengahari bersama. Itulah abah.

             Dahulu dia -abang- pernah berjalan di hadapan saya. Saya cemburu. Cuba bangkit dengan melawan kembali dendam yang tidak terlunas dan saya gagal. Sedih kerana bagi saya itulah satu-satunya peluang untuk menewaskan dia, tanpa saya sedari nun masih banyak peluang yang terbuka.

             Dia di hadapan lagi, mendaki gunung kejayaan dengan gayanya yang tersendiri. Kali ini dia menjadi hero. Saya bangga dengannya. Dia berjaya menanam tekad dan kesungguhan yang tinggi dalam diri saya, menyubur kembali harapan yang kian melayu dan sirna.

             Saya cuba berlari dan untuk kesekian kali saya menang. Saya tersenyum puas kerana sudah mampu menebus kesilapan lama. Saya kini berjalan seiring dengannya, dengan megah dan gagah.

             Kita sama-sama ingin meraih tujuan itu. Maka saya bergandingan dengannya. Dia tersepak ranting kecil dan terjelepok. Mungkin saja luka itu kecil, mungkin saja besar. Say tidak mengerti sehingga sekarang. Saya termangu dan terus terhenti seketika. Di jalan ini dia jatuh, saya menangis. Namun saya tahu saya perlu kuat dan terus pandang ke hadapan. Perjalanan masih jauh. Dia perlahan-lahan saya tinggalkan. Dia sudah cukup kuat untuk berseorangan, kerana dia seorang abang. Dan yang paling penting, dia abang saya.

            Abah datang menghulur tangan. Dia teragak-agak, namun tetap menyambut senyuman sendu abah yang terkulum pada bibir sayang seorang abah. Dia bangkit perlahan-lahan seperti terbitnya mentari di ufuk Timur, memecah langit malam. Saya memandang ke belakang dan gembira. Kini kami seiring kembali, namun dia lebih pantas ke hadapan. Lebih bersemangat berbanding saya yang muda ini.

'Abang, berikan aku sedikit semangatmu!'

             Mungkin kerana dia pernah merasa sakitnya tersadung duri, lantas berhati-hati melangkah kali kedua. Saya gembira dengan dirinya. Terkadang walau pada banyak hal, dia selalu memarahi seorang Maryam, kuasa rajuk saya tidak akan pernah mampu dilawannya.

Untuk seorang abang,

             Kurasa setiap orang tetap mampu bahagia, walau mereka masih mengingat masa lalunya dengan sempurna. Kurasa setiap orang masih mampu untuk tersenyum, walau ada kenangan manis yang tak lagi ada di hidup mereka saat ini. Dan kekalkan senyuman yang ada di bibir itu sekarang. Kerana bibir itulah yang akan mengukir senyum di bibir insan lain.

             Dan malam ini apabila saya kembali menghadapnya dengan hanya berkata, "I need some of your words", dia tidak bertanya panjang, terus sahaja memberi beberapa baris kata yang mampu buat saya menangis. Hanya ini,

There will be some bad days in our life
But there will be some good days too
Stand still
I've been through
And we will face it again and again
And I wish you will always be the best
And better than me ever

Terima kasih kerana sudi menjadi seorang abang. Yang paling penting, abang saya. My Brother My Hero

p/s : Entri ini adalah sebagai tanda ingatan kepada seorang abang yang mungkin hidupnya selepas ini tiada lagi untuk saya. Entri ini juga sebagai tanda untuk menyemat kembali kenangan lama, bimbang ia terhakis perlahan sebelum sempat saya pahatkan di mana-mana. Senyum.




0 comments:

Post a Comment