Friday, May 23, 2014

                Salam seindah wangian syurga untuk pemilik nama Maria. Sekudus Aisyah yang selalu aku dendangkan. Semulia Maryam ibu Nabi Isa aku gugahkan.

                 Pada surat terdahulu engkau bertanya sekiranya aku ini lagi bersedih. Aku tidak tahu bagaimana ingin menyampaikan hal ini kepadamu, kerana itu aku mengambil masa yang lama untuk membalas surat sebelum ini. Maafkan aku. Ya, aku sedang bersedih waktu itu. Namun kesedihan itu tidaklah berpunca darimu. Beberapa minggu sebelumnya, aku dikejutkan dengan berita sedih. Seorang temanku meninggal, kerana kemalangan. Namanya Shahril. Engkau pasti tidak mengenali dia bukan? 

                 Dia teman sekelasku dahulu, sewaktu di sekolah rendah. Orangnya baik sekali. Aku menyayanginya sebagai seorang sahabat. Jika aku punya kekasih, maka dialah selayaknya menjadi kekasihku. Kami terlalu rapat kerana dia adalah teman sepermainanku sedari kecil. Pernah aku memasang impian untuk melanjutkan pelajaran bersamanya ke Bumi Matahari Terbit ini, namun rezekinya tidak tertulis di sini. Tidak mengapa. Bukankah Tuhan itu Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-Nya?

               Aku percaya mati itu pasti. Aku juga percaya perpisahan itu akan tiba, cepat atau lambat, itu tidak menjadi urusan kita. Engkau juga pernah berpesan padaku, lambat laun kita akan berpisah juga, antara meninggalkan atau ditinggalkan. Itu pasti. Sudah-sudahlah berbicara tentang ini. Menyedihkan. 
              
Maria,
           
               Aku adalah Himalaya. Himalaya ini sunyi - aku juga begitu. Harapanku bukan biasa, ia besar - Himalaya juga begitu. Dan kata Hamka, "Himalaya yang sekarang bukanlah Himalaya yang dahulu, dan yang nanti pun bukan lagi yang sekarang."

Aku juga begitu. 

(Aku sudah pandai bermadah, bukan? Daripada siapa lagi aku belajar jika tidak darimu?)

               Segunung harapan sedang cuba aku sembunyikan. Ada rasa makhfi yang tidak engkau ketahui. Apa dan bagaimana, itu seharusnya menjadi tanda tanya. Sebenarnya, aku ingin sekali melihat engkau sebagai seorang penulis berjaya. Penulis yang memartabatkan nilai yang pernah kita lorekkan bersama. Aku harap itu juga menjadi cita muliamu yang tersimpan jauh di sudut kalbu. 

              Aku memulai jalanku dengan mudah sekali, menjalin harapan dengan sejuta bintang di langit; yang padanya punya cinta bergentayangan; aku juga ingin engkau begitu. Selalu aku ulangi, hidup adalah memberi. Selalu juga engkau semaikan, hidup adalah cinta. Lalu dengan kekuatan yang engkau ada ini, tunaikanlah impiku, juga impimu. Engkau pasti bingung saat ini. Aku berkata begini kerana aku tahu engkau mampu meneroka jauh di dalam bidang ini. Apa yang engkau perlukan hanya kandil yang sementara untuk menerangi jalanmu. Moga akulah kandil itu. 

              Mulakanlah langkah pertama itu. Percaya pada diri, percaya juga pada kataku ini. Engkau hanyalah mutiara yang belum digilap, itu aku pasti. Carilah pembimbing. Sesudah ketemu, bergurulah sesungguh hati. Ini hanyalah sarananku, engkau lebih berhak menentukannya. Engkau tahu, walau apapun citamu, ingatlah aku sentiasa menyokongmu. 

              Aku ingin melihat engkau seperti Himalaya. Himalaya yang sekarang bukanlah Himalaya yang dahulu, dan yang nanti pun bukan lagi yang sekarang. Itu harapan tulusku. 

Salam kejauhan Bumi Samurai.

p/s : Nanti ada masa aku ceritakan tentang daigaku (universiti), tempat aku belajar ya. 




0 comments:

Post a Comment