Tuesday, March 10, 2015



Merenung wanita di mata sejarah

Kita mungkin masih belum lupa bagaimana Ratu Balqis memerintah Saba’ dengan acuan toleransinya, megah di persinggahan. Lantas mengunjungi Raja Sulaiman dengan segala tentera yang ada.

Atau mungkin kita harus menyingkap seketika detik Maryam Ali Imran melahirkan Isa dengan sabarnya di bawah teduhan pelepah kurma. Dicaci, dimaki dan dihina, itulah nasib seorang Maryam yang suci kala hatinya menagih kekuatan.

Atau mungkin harus kita telusuri onak Nasibah bint Ka’b yang setia dalam Bai’tul Aqabah kedua, bersamanya Asma’ bint Amr.

Kita masih belum lupa.

Kesemuanya bernadikan seorang wanita. Sejarah juga sempat menyaksikan bahawa Siti Khadijah r.a berjaya menjadi seorang pedagang mulia yang kaya raya sehingga dagangannya menerobosi Syam.

Selidikilah juga sosok Indira Gandhi yang pernah mengetuai Revolusi Hijau (Green Revolution). Jasa 18 tahun beliau tidak memaku kejap hasad segolongan manusia, bahkan ditembak oleh pengawal keselamatannya sendiri.

Kembalilah sesaat menekur perjuangan Benazir Bhutto yang ayahnya mati di tali gantung; diperlakukan oleh tentera.

Atau setidaknya selaklah helaian tirai seorang Wan Azizah yang bertahan dalam kemelut politik menggila.

Lihatlah wanita, kesabaran, kecerdikan, kepekaan dan kebijaksanaan menjadi harga diri seorang wanita. Kecantikan fizikal sahaja tidak mampu dijadikan sandaran semata.

Wanita dan pengaruhnya

Saya percaya bahawa wanita punya pengaruh besar dalam institusi, dari sekecil-kecil institusi sehingga ke sebesar-besar institusi. Pemimpin, usahawan, ibu dan sebagainya. Dari hal keluarga sehingga halnya pentadbiran, hatta di pusat pengajian kini; wanita memonopoli sebahagian besar lelaki. Bukankah Nabi Muhammad s.a.w juga memaksudkan begitu? Iaitu akan tiba saatnya wanita itu lebih ramai daripada lelaki.

Peranan wanita seawal mendidik anak bangsa dari sekecil tapak tangan hingga menjejak ke tanah pengajian. Kata yang selalu diulang di hujung telinga menjadi halwa; “Educate a woman, then you educate a generation”. Kerana itu, jika rosaknya golongan wanita dalam sesebuah masyarakat, maka rosaklah generasi akan datang. Wajar diperkatakan, nyatalah tangan seorang ibu adalah wadah terbaik untuk mendidik dan membesarkan anak-anak; tidak pada tangan seorang nenek, mahupun seorang bibik.

Mengikut kajian psikologi, anak yang berusia satu hingga lima tahun begitu mudah menyerap apa yang berada di sekelilingnya. Baik kelakuan, kata-kata dan sebagainya. Jadi, sewajarnya usia yang sebegini penting harus diberi perhatian. Dan perhatian itu pastinya berkait rapat dengan seorang ibu. Jelas lagi disini bahawa seorang wanita amat penting dalam institusi kekeluargaan, sama perinya dalam urusan pentadbiran negara.

Jika disaksikan dalam hal ehwal negara, Ratu Nihrasiyah Rawangsa Khadiyu telah membuktikan bahawa wanita itu mampu menjulang kerajaan pimpinannya mencapai puncak keemasan sepanjang 28 tahun pemerintahannya. Islam menjadi dasar negara dan kedudukan wanita seiring dengan lelaki baik dari jihat politik, ekonomi, sosial, mahupun pendidikan.

Lihatlah, wanita begitu berpengaruh!

Kesimpulan

Marilah berhenti sejenak dan memikirkan cebisan kata dari The Apology yang menukilkan kata-kata Socrates, “The life unexamined is not worth living!”

Justeru, wahai wanita, saya bertanya kepada anda, “Benar-benarkah berharga dirimu, wahai wanita?”

0 comments:

Post a Comment