Tuesday, May 26, 2015


Cikgu Rahimiddin Zahari. Hampir dua minggu berlalu selepas berita pemergian cikgu pecah di telinga saya. Saya bukanlah anak didik di sekolah cikgu, bukan juga kawan kepada anak beliau. Dan sebenarnya beliau tidak juga mengajar di sekolah, melainkan seorang penyair negara yang terkenal – yang rumah tempat jatuh bangunnya itu di Istana Budaya. Dan saya hanyalah anak didik ‘seminggu’, sepanjang berada di Minggu Penulis Remaja 2014.  Seminggu yang benar-benar jatuh pada 22 Mac sehingga 27 Mac 2014 itu nyata menitipkan sakinah pada cikgu seorang ini.

Malam ini, usai membaca buku ketiga sahabat akrab saya, fikiran menerjah pula kepada Cikgu Rahimiddin. Cikgu bertubuh sederhana dengan uban yang makin memenuhi kepalanya. Kulitnya tidak gelap dan tidak juga cerah. Dahinya luas tanda seorang pemikir. Langkahnya tenang menggambarkan ketenangan hati yang tiada bertepi. Senyum manis sentiasa meniti di bibir cikgu. Saya kira cikgu berusia lebih kurang 40-an. Masih sahaja bertenaga dan kuat.

Sepanjang berada di Minggu Penulis Remaja, kami diasak dengan bengkel-bengkel dan pengisian berunsur penulisan, baik bengkel puisi mahupun cerpen. Bengkel cerpen dikendalikan oleh Kak Salina Ibrahim, bengkel puisi pula dikendalibaik oleh cikgu. Dan sepanjang berbengkel dengan cikgu, cikgu tidak panjang bicaranya. Lebih banyak memikirkan sesuatu di dalam kepala. Barangkali itulah sikap seorang penyair yang hanya meluah kata melalui tinta.

Masih basah di ingatan saya kala tangan cikgu laju menulis semua puisi kami di papan putih, lalu membedahnya satu persatu. Begitu rinci. Puisi saya juga dibedah. Lupa pula pada tajuknya. Yang pasti ia tentang karang yang tidak tergilap di dasar lautan. Dan antara baitnya adalah,

“Dia ada tiada
Dia tiada ada..”

Dan bait-bait seterusnya tidak saya ingat lagi. Cikgu begitu sabar menekuni karya kami yang entah apa-apa itu; karya budak yang belum masak. {Terima kasih, cikgu!}. Pernah satu ketika, kebetulan chalet penginapan kami benar-benar di tepi pantai, maka membawa kami bersiar-siar di pantai adalah salah satu pengisian slot cikgu. Matahari yang membahang tidak melunturkan semangat kami. Di situ, kami diajar berbicara dengan alam, bercakap dengan bahasa selain manusia, menutur rasa dengan cinta. Cikgu mengenalkan kami beberapa jenis tumbuhan yang aneh. Nama dan ciri-cirinya lengkap!

Kemudian kami bersimpuh beramai-ramai di satu ‘danga’ (pondok) kecil. Saya kira waktu itu kami lebih kurang sebelas orang. Di atas pondok papan itu, berteman angin pantai, cikgu bercerita tentang kehidupan. Begitu banyak nasihat yang cikgu titipkan, sebagai seorang ayah. Hati kami disiram sejuk dengan mutiara kata cikgu. Sempat saya rakamkan beberapa video saat cikgu menukil kata. Begitu saya kagumi bila cikgu menyandarkan segalanya pada Dia. Tenang dan damai.

Dan pada malam terakhir kami di sana, adanya persembahan daripada para peserta. Begitu meriah sekali. Ada yang mempersembahkan cerita ‘Atok dan Cucu’, ada pula yang berlakon. Kumpulan saya membuat persempahan puisidra iaitu gabungan antara puisi dan drama. Seorang akan membaca puisi, yang lain akan menggayakan bait-bait tersebut. Tetapi kami mengubah sedikit formatnya. Puisi ‘Hutan Persahabatan’, karya T. Alias Taib menjadi pilihan.

Dan saya pula dinobatkan sebagai Peserta Terbaik MPR kali ini, bersama Mus. Di akhir malam yang berbintang itu, cikgu sempat mengukir kata pada hadiah yang saya terima pada malam tersebut- berupa Kamus Dewan yang tebal. Kata cikgu:

“Maryam,
Mutiara tetap mutiara
Meskipun terpendam
Di perut tiram
Jauh di dasar lautan”
Rahimiddin Zahari Ismail

Itulah kenangan terakhir yang sempat saya catitkan bersama cikgu. Masih tidak saya lupa bagaimana riak cikgu yang tenang sepanjang malam dan hanya tersenyum melihat keletah-keletah kami. Rupanya dalam tenang cikgu itu ada kelakar yang terselit. Cikgu menggayakan pelbagai gaya kala sesi fotografi bersama kami. Benar-benar mencuit hati. 


Cikgu, semoga tenang di sana. Terima kasih kerana sudi mengajar dan mencurahkan ilmu pada saya yang masih bertatih ini. Sesungguhnya, saksikanlah inilah cikgu puisi terbaik yang pernah saya jumpa dan kenali. Semoga Tuhan terus merahmatimu, cikgu. Semoga cikgu ditempatkan dalam kalangan solihin. Amin.

0 comments:

Post a Comment