Saturday, May 16, 2015


Kepada:
Kawan

----------------------------------------------------------------------------------------------

Daripada:
Aku

Assalamualaikum wbt.

Hari ini hari terakhir kuliah. Sekejapan benar berlalu semester kali ini. Engkau semakin sibuk. Tanpa sempat aku menyapamu dengan kata, tanpa sempat juga aku lunasi janji yang terukir di dada; menegurmu yang pertama. Sebenarnya aku juga menunggu untuk hari terakhir ini, kalau-kalau kita ketemu, sempat aku menegurmu. Hampa. Aku di hujung kelas, mataku bergelinjangan mencari bayangmu, dan kelibatmu tidak langsung terlintas hari ini. Tidak mengapalah. Aku berharap semester hadapan akan menjadi seperti semester ini juga; satu bangunan kuliah denganmu. Oh ya, kelas Dr Thameem dan Sir Baidur berakhir hari ini. Aneh. Mereka menyulam kata dengan nasihat dan doa. Terharu pun ada.  

Tadi petang sekitar jam 4 aku menerima berita pemergian cikguku, Tuan Rahimidin Zahari. Terasa hariku suram. Beliau guruku kala Minggu Penulis Remaja. Sempat aku selongkar telefon bimbit ini mencari videonya yang aku rakam dahulu. Sedih sungguh hati ini. Meski hanya seminggu, tetapi Allah titipkan rasa sakinah pada cikgu. Cikgu orangnya begitu sederhana, cakapnya sedikit, tajam pemerhatiannya, tinggi sifat kebapaannya, penyabar sekali dirinya. Entah kenapa aku terkenangkan tempoh yang seminggu itu. Hari-hari yang dilalui bersama cikgu membuat aku merasa beliau adalah seperti bapa sendiri. Ajaib bukan segala berkaitan rasa ini. Tidak dapat dilihat, tapi sakitnya dapat dirasa hingga ke ulu jantung.

Dan malam ini pula bicara aku dan dua teman akrab seputar akademik. Terasa-rasa kerdil diri ini jika yang dicari selama ini adalah pointer semata. Aku tidak tahu bagaimana untuk mengupas hal berkaitan pointer dari sudut mereka yang  cerdik pandai, cuma begitulah. Jika hal yang berkaitan pembelajaran, aku terlalu terinspirasi dengan satu jejaka berusia awal 20-an ini. Moga-moga engkau izinkanlah bicaraku tentang dia malam ini. Dia aku kenali sedari kecil lagi, seorang yang cerdik pandai.

Pada zaman sekolah rendahnya, dia cemerlang dalam peperiksaan SRP dan berjaya menduduki UPSR pada usia 11 tahun. Cemerlang sekali anak ini. Sekolah menengahnya berjalan dengan baik dan begitu berjaya sehingga dia ditawarkan ke Universiti Teknologi Petronas. Aku kira ia universiti yang sangat tersohor di Malaysia. Apa tidaknya, sesi interview sahaja memakan masa selama dua hari satu malam. Kemudian seawal usia 16 tahun, kakinya sudah melangkah ke UTP tersebut. Gah terasa sebagai kawan. Iyalah, meski aku tidak mampu secemerlang dia, tetapi aku gembira untuk dia.

Selepas itu aku tidak lagi mendengar khabar beritanya. Entahlah. Kami terpisah di alam universiti ini. Dia jauh nun di Tronoh, Perak. Aku pula mendekam di Petaling Jaya. Sehinggalah majlis reunion yang berlangsung baru-baru ini, barulah aku tahu bahawa dia sebenarnya dibuang dari UTP dua tahun selepas itu. Aku terkejut bukan kepalang. Masakan! Dia budak genius sebegitu dibuang dari universiti berprestij. Pernah aku hubunginya, tetapi tidak berjaya. Dia hanya mendiamkan diri sahaja. Barangkali dia punya masalah yang terlalu peribadi untuk dikongsikan bersama aku. Aku kelu dan nanar seketika sehinggalah dia mula menghubungi aku kembali membawa khabar berita terbarunya.

Katanya dia kini belajar di UITM, diploma kursus Kejuruteraan. Seingat aku waktu itu aku tahun pertama ijazah di UIAM Gombak. Aneh bukan hidup ini? Dia bercerita kepadaku tentang tahun-tahun kejatuhannya. Dia dipulau, dihina dan dipandang serong. Apa tidaknya, seorang anak harapan keluarga tiba-tiba menghancurleburkan harapan yang tergalas di bahunya. Ranap.

Dia bangkit menebus kesilapan yang tertulis dan aku diberitahu bahawa setiap semester diplomanya, dia mendapat anugerah Dekan. Anugerah Dekan! Kemudian terus menyambung pelajaran ijazah pertamanya di UITM Shah Alam. Dan belum pun sempat dia melunasi ijazah ini, dia sudah ditawarkan untuk menyambung pelajaran di peringkat Master. Aku terkedu lagi. Bagaimana seorang dia bangkit dan meraihnya dalam kehancuran yang paling dalam. Kepercayaan yang dihenyak sehingga luruh ke tumit, dikumpul kembali sedikit demi sedikit. Lihat, tidak hanya di peringkat ijzah, malah belumpun habis mengaji ijazah sudahpun diberi kerusi Master.

Teman, bukan mudah rupanya mengerdip mata dalam pejur hujan. Pedih pabila titisan yang paling kecil masuk menerjah ruang mata ini. Tetapi kita harus terus membuka mata, bukan?

Teman aku yang berdua itu cukup mengajar aku malam ini bahawa sebenarnya kemuncak pengetahuan dan ilmu itu adalah akhlak itu sendiri. Apa guna ilmu penuh di dada jika cakapnya menengking-nengking yang tua? Apa ilmu itu berfaedah andaikata muka tidak langsung mengukir senyum kala terserempak di mana-mana? Ingatkah lagi dendangan nenek moyang kita? Ikutlah resmi padi, makin berisi, makin tunduk. Bukan senang rupanya mendidik hati.

Masih aku ingat kata temanku itu, “Pointer yang rendah menyebabkan saya tersedar bahawa sebenarnya saya lebih bernilai daripada pointer itu.” 

Belajarlah bukan kerana pointer, Maryam. Itu lebih bernilai. Bukankah engkau pernah mengatakan, pada seorang manusia itu nanti yang tersisa hanyalah nilai yang dibawa. Itulah yang membezakan kita. Nilai. 

0 comments:

Post a Comment