Tuesday, July 28, 2015


Untuk: Maryam Jameelah (Margaret Marcus)
28 Julai 2015
New York/Pakistan

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Assalamualaikum wbt,
Temanku terhormat Maryam Jameelah,

Aku sebenarnya tidak tahu harus bagaimana aku mengutusimu. Engkau apa khabar? Aku baik-baik sahaja. Aku kini sedang bercuti (cuti semester) dan banyak menghabiskan masa sekitar UIA dan di rumah sahaja. Sewaktu mengutusimu ini, aku sedang mendengar instrumental piano hasil ketikan jari Ai. 'Story' namanya. Engkau pun sangat mencintai muzik, bukan? Ah lihat. Kita banyak persamaan rupanya.

Maryam,

Bagaimana engkau menjadi gadis yang kental, waja dan begitu tekad? Engkau aku kenali sebagai kanak-kanak yang begitu teringin menjadi seorang lelaki di awal usiamu; bermain kriket, mengembara, bermain bola sepak dan pelbagai lagi impimu. Dan seawal usiamu 27 tahun, engkau mengembara seorang diri ke Pakistan; merentas denai, menumpang kapal, meneroka rumah penduduk tempatan dan bermacam-macam lagi. Oh ya, pasti engkau pelik bagaimana aku mengenalimu? Itu, melalui karyamu; Maryam Jameelah Menjemput Islam, yang sudah hampir selesai aku baca. Aku cukup cintakan karya itu. Ia karyamu yang pertama aku baca. Engkau begitu detil, halus dan rinci dalam menggambarkan suasana sehingga aku yang tidak pernah berada di tempatmu, boleh membayangkan semua itu. 

Aku lagi membayangkan bagaimana saat engkau dimarahi ayahmu kerana begitu menyukai karya-karya yang menceritakan tentang orang Arab. Kata ibu bapamu, mereka itu pengotor, kumuh dan tidak bertamadun. Ayahmu membangkitkan sesuatu yang bikin engkau marah dan menangis. Lalu engkau berazam tidak mahu lagi menyentuh karya seperti itu. Namun engkau tidak mampu menahan diri bukan? Aduh, engkau sungguh cintakan ia sehingga tidak mampu engkau luputkan keinginanmu yang satu itu daripada hatimu. Lihatlah Maryam, itu cinta; seawal cintamu pada Islam. Engkau terkadang bencikan ia tetapi engkau lemah dalam menghindarinya. Dan aku masih ingat kala engkau menyebut satu-persatu karya bacaanmu. Antaranya adalah A Forgotten Village,  Children of the Housetops, Men of the Sulu Sea dan pelbagai lagi. Aku juga sedang cuba mencari karya Steinbeck itu (A Forgotten Village) yang juga pernah dibaca oleh sejarawan negaraku, A. Samad Said. Atau lebih dikenali sebagai Pak Samad. Ya, yang selalu beriktikaf di masjid Negara itu pada setiap Jumaat. 

Maryam,

Aku tidak pernah bertemu mata denganmu. Sedih sekali kerana namamu hanya sayup-sayup aku dengari dahulu, lalu tidak pernah aku cuba ketahui siapa dirimu yang sebenar. Rupanya engkau seorang penulis muda yang menulis  lebih daripada 25 buah buku selepas pengislamanmu. Engkau begitu kritis. Oh, pasti sahaja aku belum membaca semua karyamu. (Ia terlalu banyak dan berat!) Aku sekadar membelek tajuk-tajuk yang ada dan pernah aku lihat engkau tulis tentang Muhammad Abduh juga. Wah, rupanya kita punya minat yang serupa. Engkau juga meminati Sayyid Qutb dan Iqbal bukan? Ah, alangkah bertuahnya aku sekiranya engkau masih ada. Pasti engkau akan bercerita pelbagai perkara padaku. Kita akan duduk di The Grill ini sambil mencicip secawan White Coffee berharga RM1.90 itu. Sambil ditemani rembang petang dan merpati jinak, engkau bercerita tentang pengalamanmu yang berharga itu. (Ah). Walau aku ini tidak sekritismu, tetapi aku mampu mendapat tempiasnya dengan mendengar engkau bercerita bukan? 

Pasti engkau akan bercerita bagaimana di waktu kecilmu dahulu; bagaimana engkau seringkali keseorangan. Maryam, aku cukup kagum padamu, namun dalam masa yang sama aku terhibur dengan cerita-ceritamu. Engkau begitu betah menulis surat kepada kakakmu dan ibu bapamu. Aku kira mereka juga adalah teman baikmu. masakan tidak, engkau mengutusi mereka begitu kerap dalam masa sebulan. Aku sedang cuba membayangkan aku tergelak dengan cerita engkau terlantar di katil hospital dalam jangka masa yang panjang kerana sakit pneumonia. Namun dalam masa yang sama, engkau berharap agar terus sakit begitu supaya engkau terus mampu menguliti karya pertamamu, Ahmad Khalil. Oh ya, aku ada membaca respon beberapa pembaca karyamu itu. Katamu mereka engkau bercerita tentang seorang anak lelaki bernama Khalifa dan abangnya, Rashad dalm meladeni kehidupan seharian di Palestin. Ada yang begitu tersentuh dan bersemangat selepas membaca karyamu yang ditulis seawal usia 12 tahun itu.  

Maryam, banyak lagi cerita yang ingin aku singkapi tentangmu. Kata Dr Thameem, pensyarah kesukaanku, "Jika ingin mengenali seseorang, bacalah karya tulisannya dahulu. Bukan pertama, membaca komentar terhadap tulisan tersebut." Oh, jam sudah 12.40 tengahari. Perpustakaan ini hampir ditutup. Iyalah, Zuhur sudah menjengah. Aku pergi dahulu. Nantikan aku di warkah seterusnya. Sekian. 

P/s: Maryam Jameelah sudah meninggal dunia pada 31 Oktober 2012.

1 comments: