Wednesday, February 10, 2016

Ikhtiar mengeluarkan beberapa keping duit kertas dan duit syiling dari poketnya.

"Cepat-cepat. Setiap orang 12 lira." Fikri bersuara dengan suara garaunya. Tangannya diletak tepat di kedua pinggul, bercekak.

Hidup di rantauan, kena tahu berkongsi.

"Dah macam ceti haram aku tengok kau ni." Tawa meletus. Gamat seisi meja dengan kata-kata Dani.

Hujung minggu. Sesekali berkumpul begini di Restoren Al-Malek sungguh menghiburkan. Lusa, Dani dan rakan-rakan akan pulang ke Malaysia. Tinggallah aku di sini, Turki.

Apa sangat 12 lira jika dibandingkan dengan persahabatan yang baru terjalin ini.

Ikhtiar masih menyeluk sakunya, menggagau mencari wang untuk mencukupkan 12 lira.

"Berapa lagi tak cukup?" Aku bertanya.

"1 lira". Ikhtiar belum mengangkat muka, sibuk mengeluarkan duitnya.

Pantas tanganku menguak dompet dan mengeluarkan syiling Turki itu.

"Thanks". Laju bibir Ikhtiar menuturkannya.

Aku tersenyum manis seraya mengenyit mata.

Kami berpisah di stesen  Pazartekke. Aku akan pulang ke sebelah Asia, mereka pula di sebelah Eropah sahaja.
Dani dan Fikri sudah mula bising mengenangkan aku yang pulang jauh lewat malam.

Aku senyum nipis meyakinkan mereka.

"Aku sudah biasa..."

Walapun hati sendiri bimbang, hanya itu mampu kujawab, sambil-sambil membaca ayat Kursi dalam hati sebelum berpisah.

Sejenak melangkah ke stesen tram, mengeluarkan kad dan menyentuh skrin sensitif itu.

"Sila tambah nilai." Aduh.

Kaki terus ke kedai runcit, berharap jam detik berhenti waktu itu. Mana pernah aku pulang selewat jam 9.30 begini. Huh.

"Yok. (Tiada)" Abang berbaju biru jalur itu menyambut.

"Oh. Evet." Suaraku berbaur kecewa. Aku keluar dari kedai. Menuju ke stesen tram.

"Mungkin ada mesin jetonmatik di sana." Hati memujuk sendiri.

Ada. Tetapi ditampal kertas dan skrin sesentuhnya gelap berwarna hitam, tiada langsung perkataan seperti biasa.
Peluh memercik. Aku sedikit panik. Jam 9.45.

"Takkan aku nak berjalan cari kedai lain. Dah lewat ni. Allah." Mataku melingas.

Dani dan lain-lain sudah lama menghilang. Malam semakin pekat. Dua tiga ekor anjing berkeliaran.

Terpaksa. Carilah.

Aku mengunjuk kad dan wang di tangan kepada dua orang pakcik yang berdiri tepat di stesen Pazartekke itu.

"Nerede? (Di mana?)" Bahasa Turkiku terhad. Harap-harap pak cik berjaket terang tertulis 'Worker' ini faham.

Dia menggeleng kepala laju.

Aduh, habis aku macam ni.

9.45 malam.

Dia bercakap dalam Bahasa Turki. Aku menggeleng.

"Türkçe bilmıyorum. (Aku tak tahu Bahasa Turki)."

Dia membuka palang. Tangannya mengacung-acung aku, menyuruh aku masuk ke ruang menunggu tram.

Eh? Keningku terangkat.

Dia tersenyum. Matanya menyuruh aku pergi.

Aku masuk.

Semudah itu? Sepercuma ini untuk tiket sekali masuk 1.15lira?

Aku tersenyum. Muka Ikhtiar dalam bayangan.

10.00 malam. Tangan menaip laju papan kekunci.

"Tia, Tuhan dah balas 1 lira aku tadi. Siap bagi lebih :)"

Hantar.

0 comments:

Post a Comment