Wednesday, May 18, 2016

Bangun pagi. Mesej kawan. Kelas batal. Sedih.

Sedih kerana itu kelas terakhir untuk semester ini. Dan saya sedang membilang minggu dan hari untuk pulang ke Malaysia. Minggu-minggu terakhir terasa begitu sayu dan menyedihkan. 

Orang-orang Turki baik. 

Saya akan rindu pada abla (kakak) yang setiap minggu datang ke bilik saya untuk menvakum, mengemop dan memungut sampah. Abla yang saya tak tahu bagaimana ingin berkomunikasi kerana keterbatasan bahasa melainkan Hai, Apa khabar. 

Tiada lagi senyuman ahli bilik yang tidak tegar melihat saya bersedih, langsung ditanya, "What's going on?" Mereka sungguh-sungguh baik. 

Masih saya ingat akan Ezher yang cantik itu -teman sekampus- yang bersusah payah memanjat tangga pejabat di kampus sambil mengheret tangan saya bilamana dapat tahu kewangan saya dipotong oleh UIA. Dia lah yang menangis dan bersedih bila melihat saya menangis. Buruk sungguh muka di waktu itu. 

Kejam juga UIA ini. Mula-mula diberitahu dapat insentif, kemudian tanpa tanpa notis saya dihentak disentak mengatakan saya tidak dapat pula kerana 'top management' - selepas siap kertas kerja semuanya saya hantar lima bulan sebelumnya. Kerja Tuhan sungguh. Terburai berderai segala air mata. Luruh dan gugur juga jantung ini.

Kemudian ditenangkan dengan pelukan hangat Nuran Aja (pengetua dorm), meski yang berbicara hanya bahasa air mata. Tidak tertahan air mata berlari apabila dia bertanya tentang keluarga. 

Selang beberapa jam jumpa Nuran Aja,saya dikhabarkan, alhamdulillah ada insan bersudi menampung belanja saya di sini. Allah. Itu dari Nuran Aja yang punya ramai kenalan besar. Banyak rezeki saya dapat dengan pesan Nuran Aja, "Selepas ini, kamu harus berbuat baik kepada orang. Ingat pesan saya." Dan hingga hari ini, atas pesannya dan dua orang lagi insan, sehabis baik cuba bersedekah setiap masa saya keluar. 

Sukar sekali bersusah hati kerana duit. Susah lagi menyimpan rahsia dari abah yang risau dan dapat merasakan sesuatu tidak kena. Bukan hanya abah rasa waktu itu; umi, Balqis, abang, sahabat rapat- semua boleh merasa sesuatu dan merasa risau akan saya tanpa sebab. Kata mereka, teringatkan saya. Dan saya bijak bukan? Seperti selalu. 

Bila saya pulang nanti, tiada lagi kelas Ismail Hoca yang sedikit bosan itu, tiada lagi gurau senda Yusuf Hoca yang begitu kebapaan dan kelakar sekali dalam kelas. Dan semestinya kecintaan saya yang baru itu, Hikmet Yaman Hoca yang redup pandangan matanya dan memanggil saya dengan nama Hameedah itu. 

Dan pernah sekali Hikmet Hoca melihat saya resah dalam kelasnya hari itu, terus ditanyakan saya, "Are you okay, Hameedah?" Waktu itu beberapa hari menerima berita tentang wang UIA, serabutnya cukup terasa. Terus sekali lagi air mata pecah di situ. Dia tergamam dan saya berpaling ke belakang mengatakan, "I'm okay Sir." Mujurlah Ezher ada di waktu itu. Saya ditinggalkan hoca dengan tanda tanya.  

Meski jasad masih di sini, saya sudah mula merasa rindu yang luar biasa kepada mereka. Meski saya sudah rindu pada bau buku Faisal Tehrani di Malaysia, pelukan abah, redup pandang umi dan senyuman kawan-kawan, saya masih rasa sayang teramat untuk tinggalkan Turki.

Tuhan, inikah cinta? 

Beberapa hari lepas, saya menatap wajah teman sebilik yang sibuk bergelak sesama sendiri. Wajah-wajah yang akan saya tinggalkan tidak lama lagi. Ah, sedihnya menusuk-nusuk. 

Serentak tangan menskrol status-status twiter. Tertancap terus pada satu status lirik lagu Fynn Jamal;

"...Sayu tak terjelas fikiran
Rebah tak tersambut

Kau tahu
Kau sayu 
Kau rindu 
Sama Tuhan..."

Sebak di dada. 

Ya, manusia tidak kekal. Tuhan sahaja yang kekal. Tuhan sahaja.

Hoca, nanti kita jumpa lagi ya?

Insya Allah. Que sera, sera. 


0 comments:

Post a Comment