Wednesday, September 28, 2016

Dengan berbekalkan payung merah bata sederhana besar, bergalaskan beg hitam dan membimbit plastik biru, dia sudah cukup menang di mata aku. 

Dan saat mata aku dilintasi seorang lelaki pencinta Melayu tegar yang elok bertengkolok songket hitam, berbaju Melayu hijau lumut, cukup menambah seri petang aku.

Perkenalan yang cukup pendek dan pantas dahulu. Bagaimana ya? Oh ya, tentang peribahasa Melayu yang sering menjadi siulan aku - bagai melepaskan batuk di tangga.

Hanya sesingkat aku yang menangkap butir bicaranya bersama temannya kala itu, aku memasang telinga dalam diam dan menyampuk saat dia mengatakan batuk itu sebenarnya bermaksud gayung, dan bukanlah batuk yang lahir dari geli anak tekak itu.

Aku terkejut, lantas dengan spontan aku berdiri di atas tangga kayu setinggi lima anak tangga itu, berpura-pura batuk sambil meluncurkan pertanyaan;

"Bukan batuk sebegini kah?" Mata aku memandangnya.

Dia hanya ketawa mesra. Indah. 

Itu titiknya.

Dan dia terus mengetawakan aku dengan pandangan matanya yang terpegun memandang kereta Viva kami di saat itu. Atau mungkin pada pemilik kereta Viva tersebut. Entah apa yang istimewanya.

Petang ini dia hanya bersahaja dengan segelas teh tarik dan membuka sebuah buku bersaiz sederhana, berkulit keras. Dan aku yang terpaku dengannya menegur dia.

"Assalamualaikum!" Aku bersuara sedikit kuat sambil memeluk kejap beg sandang biruku.

Dia memandang, "Waalaikumussalam!" Dengan nada sama dia membalas. Wah Islamik sangat. Tapi...bukankah memberi salam itu bererti mendoakan kesejahteraan dan kebaikan? :)

Aku senyap. Dia bisu. Aku berdiri tegak seolah ingin melagukan Negaraku, dia masih memegang buku yang sama tanpa pula mempelawa aku duduk.

"Ada pendrive?" 

Dia menggeleng. "Tak ada."

"Okey." Aku berlalu. Segalanya seakan kaku. Ingin sahaja aku duduk di depan dia, mengganggu petangnya yang tenang dengan soalan "Jadi perlu bagaimana harus kita memandang hidup ini? Dengan phenomena atau noumena?"; atau suara saja-saja seperti "Khabarkan aku tentang kisah Jepun menawan Tanah Melayu."; atau mungkin dengan Hikayat Malim Deman bersulam air teh tarik.

Kata kakakku, dia seorang intelek yang penuh falsafah. Mungkin satu masa aku hanya perlu menutup buku di hadapannya dan menanyakan dia soalan-soalan itu, aau mungkin hanya membawa secawan kopi putih tanda aku ingin berbicara lama dengannya.

Tunggu lah. Nanti...sampai dia datang lagi dengan payung merahnya dan baju kemeja berkotak-kotak--waktu dia hanya tersenyum menatap skrin telefon bimbitnya melihat status-status di Facebook atau mengemaskini page Facebook.

Sekian dari perempuan poyo yang suka berangan dan disuruh temannya agar cepat dewasa. Ah, dewasa itu menyakitkan!

0 comments:

Post a Comment