Monday, April 7, 2014




"Saya nak nasi goreng kampung. Tak nak ajinomoto. Tak nak ayam" suara itu menari pantas.

Pap. Lantas saya berpaling seketika ke sisi. Dua teruna berdiri dan saya tergelak dengan percakapan mereka tadi. Itu pesanan makanan si arjuna berbaju hitam.

'Ada jugak permintaan sebegini. Boleh ikut ni. Lain kali nak buat macam ni lah,' hati nakal saya berbisik. Apa salahnya mencontohi benda baik bukan?

Terus ingatan melayang ke rumah, lebih tepat abah.

Di rumah kami, abah pantang akan tiga perkara. Serbuk perasa Ajinomoto, maggi dan jajan.

Masih saya ingat,

"Lauk ni letak ajinomoto ke?" Abah sekadar bertanya selepas mencicip gulai kari airtangan ibu satu tika. Ibu saya hanya diam.

Padahal sewaktu saya dan ibu 'menukang' lauk didapur, abah bukannya ada dan kami memang menggunakan sedikit sahaja perasa alah itu. Hanya sedikit, dan abah masih mampu mengesan sisanya!

"Nasib baik ni malam raya. Kalau tak, dah lama abah ambil mangkuk maggi tu, abah buang ke luar". Ini pula sewaktu malam raya. Biasalah, sibuk yang menggila menyusun perabot, memasang langsir menjadi kerja seisi keluarga. Sehinggakan makan malam pun tidak sempat dimasak.

Dan, "Tau tak dah berapa ramai budak mati sebab sakit buah pinggang? Sebab apa? Sebab jajan ini lah" Dialog yang memang sudah siap terakam dalam minda saya.

Abah cukup menjaga pemakanan keluarga. Dan satu sifat abah yang sangat saya kagumi adalah abah sanggup berlapar dan bergegas pulang ke rumah untuk makan tengahari selepas habis waktu kerja. Kadang-kadang jam tiga, terkadang jam empat. Dan untuk makan tengahari, abah sanggup!

Itulah abah saya.

P/s : Jaga diri semua selagi dikurniakan kesihatan yang baik.

0 comments:

Post a Comment