Thursday, January 29, 2015

    Semenjak di sekolah menengah dahulu saya dilabelkan sebagai orang yang suka bertanya. Terutama subjek yang memerlukan pendetilan seperti nahu, tajwid dan sebagainya.
  

       Malah dahi saya akan berkerut dan bibir saya akan terkumat-kamit dengan cebisan-cebisan yang cuba saya cerakinkan dan hadam. Pernah saya tertanya sendiri, mengapa fikiran saya tidak sama seperti yang lain? Adakah saya terlalu komplikated orangnya? Dan saya ingin berfikir seperti orang lain! Semuanya berlarutan sehingga sekarang.


      Meladeni alam pra universiti, daya ingin tahu saya meluntur tatkala satu pertanyaan saya tidak terjawab. Saya cuba membuang jauh soalan itu, tetapi ia kerapkali kembali menghantui diri saya. Soalan sama yang memakan masa selama tiga tahun untuk dijawab. 

    
     "Mengapa manusia ini unik? Mengapa setiap manusia itu punya kelebihan masing-masing yang berbeza?" 


       Jawapan "Tuhan sudah ciptakan begitu" tidak mampu memuaskan hati sendiri. Dan soalan ini saya diamkan sahaja sementelah semua kawan menganggap ia soalan remeh yang tidak perlu ditekuni pun. Malah ia bukanlah soalan intelek yang mencambah minda, malah mengusutkan keadaan. 


Maka saya lupakan sahaja hasrat mencari jawapan soalan itu. 


     Menjejak ke alam universiti, semester lepas, saya seakan direnjat dengan kelas Sejarah Falsafah Barat. Rupanya persoalan saya itu mampu sahaja dijawab dalam kelas tersebut.


     Malah, tiga persoalan besar yang seringkali menjadi tanda tanya ahli fikir terdahulu jarang kita tekuni.

     
      'Siapa kita? Untuk apa? Dan ke mana?'


      Dan Thales hadir pada 580 BC dengan membawa konsep "Semua benda di dunia berasal daripada air". Disanggah oleh anak muridnya sendiri, Anaximander. Kemudian, Anaximendes, Pythagoras dan seterusnya. 



      Dari situ saya mula menyedari bertanya dan berfikir itu tidak salah. Yang diperlukan adalah mencari orang yang betul untuk menjawab persoalan. mencari sumber dan bahan yang benar untuk dihadami. Semua terhidang di hadapan mata. Yang tinggal hanya usaha. 


    Banyakkan diskusi. Banyakkan bertanya. Bertanya pada orang yang betul dan tepat. maka jawapannya pasti kan ada! Benar, setiap pencarian ada pengakhiran.


          Semoga pencarian ini akan terus mekar.

          Semoga. 

0 comments:

Post a Comment