Friday, June 17, 2016

"Nanti kalau abah mati kat sini (Malaysia), kirimkan doa untuk abah."

"Kalau Maryam mati kat sana (Turki), abah tak boleh nak pergi..." 

Pesanan abah lewat hari itu masih saya ingat. Diulang-ulang, disebut-sebut menjadi zikir.

Saya datang dari keluarga sederhana. Jadi datang ke Turki sewenang-wenangnya seperti Kuala Lumpur-Terengganu tiada dalam kepala.

Abah dan saya jadi begitu kerana takut.

Ketakutan seorang abah kehilangan anaknya.

Ketakutan seorang anak kehilangan abahnya. 

Tak mudah datang ke Turki. Berat hati, gelisah, semuanya bercampur gaul dan teradun dengan kompleks. 

Ya, enam bulan tak lama. Tapi enam bulan bukan juga sekejap kawan. Sangat-sangat tak sekejap. Ia satu tempoh yang cukup untuk sebuah rindu. Satu jangka yang cukup untuk membasuh luka semalam. Satu titik yang cukup untuk sebuah kemaafan.

Cukup. Sangat-sangat cukup untuk kau mengenali hati sendiri; siapa yang engkau rindukan di kejauhan, siapa yang engkau cintakan dengan sepenuh hati. 

Ia cukup untuk kau belajar lebih berdikari, lebih bijak membuat keputusan, lebih yakin dalam menguruskan wang dan sebagainya.

Wahai perempuan berdikari, berjauhanlah untuk jangka masa panjang. Keluarlah mencari diri sendiri. Jatuh dan bangun. Sakit dan luka. Senyum dan gembira. 

Dan di celah-celah nafas yang ada, kali kesekiannya saya meminta izin untuk ke London selama seminggu. 

Saya bentangkan semua perancangan. Tidak detail. Secara kasar sahaja. 

Abah menyoal siasat segalanya. Duit, penginapan, siapa, apa. Cukup pakej. 

Saya tahu abah takut dengan perkara tidak terjangkakan.

Kalau stuck? Stranded? Ada masalah tengah jalan? Pesawat terhempas? Diapa-apakan orang London? 

Abah yang terlalu sayang dan risau.

Untuk abah,

Kalau Tuhan memanggil saya dahulu, abah doakan yang baik-baik untuk saya. Doakan saya diberi keringanan di dalam kubur nanti. Doakan saya dilepaskan segala seksa di sana atas hak-hak yang tidak tertunaikan atau tanggungjawab yang sengaja saya lepaskan.

Kalau Tuhan memanggil abah dahulu, ya saya akan menangis sehingga sembap. 

Ya saya mungkin menyalahkan Tuhan atas janji-Nya yang tidak terpenuhkan. 

Saya mungkin akan mengungkit-ungkit doa yang pernah saya pinta dahulu; Panjangkan usia abah dan usia saya supaya saya boleh menjaga abah--sepertimana abah menjaga Tok Ayah sekarang.

Saya mungkin akan jadi pemarah kepada abang yang cuba menenangkan. 

Tapi saya juga akan berusaha untuk menjadi yang terpaling redha di atas pemergian abah. Saya akan cuba menjadi yang terpaling tenang sebab saya tahu Tuhan sedang mengajar saya bahawa Dia lebih sayangkan abah. 

Saya akan cuba ingat pesan-pesan abah. 

Saya akan cuba mengerti bahawa perpisahan itu adalah satu titik pertemuan kembali.

Jadi untuk apa-apa hal yang akan berlaku, serahkanlah saya pada Tuhan dengan penuh redha, abah. Serahkan saya dalam jagaan-Nya. Dalam jagaan Dia Yang Maha Kuasa dan Maha Mengasihani. 

Saya yakin dan percaya Dia tidak akan sesekali meninggalkan kita. 

Saya juga ingin percaya bahawa jika kasih sayang kita utuh, di mana sekalipun kita akan rasa bersama. 

Serahkanlah saya pada-Nya, abah. 

Yang benar, 
Anakmu. 
*lap air mata*

Haih.

0 comments:

Post a Comment