Thursday, May 8, 2014

            Aku ingin mendaki lagi gunung nilai yang selalu terungkap mesra dari bibirmu. Kerana aku percaya di puncak sana ada yang sedang menanti. Menanti hari-harinya untuk dipenuhi dengan nilai. Sebagaimana engkau ajarkan hidup ini mesti memberi wajarnya, aku cuba. Aku masih ingat kata-katamu, apa yang kita punya ini bukan milik kita, malah apa yang kita beri, itulah milik kita.


             Aku akan terus mendaki, mendaki gunung kehidupan yang penuh ketidakpastian. Bibit Zurinah Hassan yang pernah engkau lontarkan padaku dahulu, 

Aku mungkin kurang pasti
Tentang apa yang telah kukatakan

Tapi yang pasti

Kita tidak perlu terlalu pasti


            Meski kewalahan, aku yakin Tuhan itu tidak pernah kejam. Dan selalu aku ingatkan diri sendiri, pada setiap musibah dan cabaran yang Tuhan hamparkan padaku, itu adalah jawaban-Nya untuk setiap pintaku. Masih tidakku lupa di saat Kak Hana - kakak angkatmu yang anggun itu, menjahit kalimat. Katanya,

Pada setiap ujian yang menimpa, 
kembalilah kepada setiap untaian doa yang kamu pinta di setiap tahajudmu, sujud terakhirmu dan tadahan doamu. 
Apa yang berlaku sekarang, mungkin Tuhan sedang memberi jawapannya.

            Tuhan itu Maha Mendengar. Mana mungkin Dia mengetepikan begitu sahaja doa hamba-Nya. Bukankah sudah dipotretkan dalam Al-Quran,

"Berdoalah kepada-KU, nescaya akan AKU perkenankan bagimu" 
[Ghafir, ayat 60]

           Terkadang aku gelisah pada dunia ini. Terkadang juga aku meluat, dengan karenah penghuni dunia. Adakalanya juga aku cuak, hanya mampu melihat dunia gila.

           Aku ingin mendaki lagi dan lagi kerana aku percaya hidup ini adalah khazanah rahsia dara yang tidak hanya terungkap dengan kata. Teruskan mendaki dan menggapai awanan mimpi!


Anas tersenyum. Nota itu dilipat dua. Kemas. Disisipkan bersama buku sederhana besar berwarna coklat. Petang ini Anas akan mengepos surat kedua di Pejabat Pos Besar di negara Samurai ini.


Selesai. Moga penerimanya kelak mengerti.

Maryam Hamidah Zulkifli | Create Your Badge


0 comments:

Post a Comment