Friday, May 9, 2014

    Anas, warkahmu selamat aku terima. Rupanya engkau masih tidak melupakan kata-kata Zurinah Hassan itu. Aku bangga. 

   Sedih? Apakah engkau sedang sedih? Engkau rindukan malaysia ya? Jangan bersusah hati, aku kan sentiasa ada; gurau yang bukan gurauan.
    Anas, semalam aku melawat seorang teman. Dia kemalangan. Kami berempat ke sana, menaiki kereta Viva temanku. Dia lelaki. Engkau tidak apa-apa kan? Dia antara temanku di uni ini. 

   Badannya kian menyusut. Dia sakit; kakinya berbalut kasa putih dan separuh bersimen. Kami bawakan dia belon kanak-kanak, salah satu watak Sesame Street. Entah, aku tidak tahu namanya. Dia gembira. Dia hanya tersenyum dan tenang apabila kami mula menyoalnya seperti seorang detektif yang sedang menjalankan tugas.  

  Agak parah kondisinya, terlantar sahaja di atas katil. Pembedahan terpaksa dilakukan di bahagian lutut kanan. Katanya kulit peha dan betis terpaksa ditarik untuk menutupi sebahagian besar kulit lutut yang terkoyak. Ligamen, otot yang berkaitan, itu aku tidak tahu. Aku ngeri mendengarnya.

  Anas, semalam kami berbicara tentang erti sebuah kebenaran.-dalam perjalanan pulang ke kampus. Engkau tahu, hidup ini adalah satu pilihan. Pada satu-satu masa, kebenaran akan terungkap tidak kira cepat atau lambat. Dan di saat kita membuat keputusan, apa yang datang hanyalah antara dua; kebenaran atau kepalsuan, kesakitan atau kebahagiaan. Dan ujar temanku yang lain, memilih untuk berdiam diri atau tidak berbuat apa-apa juga satu pilihan. Aneh bukan hidup ini?

  Penafian tidak mampu menutup sebuah kebenaran. Apatah lagi kebenaran yang terang. Selama berjauhan ini, aku percaya engkau tidak buta pada kebenaran dan pastinya jelas akan sebuah kepalsuan. Sebagaimana jelasnya kalam Tuhan dalam pintalan Quran, sejelas itu juga kebenaran yang terbabar. Entah apa kena-mengena omelanku ini dengan situasi engkau. 

  Lagi aku mendengar butir dari teman, katanya, teknologi itu merenggangkan hubungan. Benar bukan? Terkadang hanya duduk bersebelahan, namun masing-masing membisu tenggelam lena bersama gajet masing-masing. Aku juga tidak gemar suasana yang begini. Jika nanti engkau pulang dan lakukan sebegini padaku, aku pasti marah! -Iyalah, engkau nanti bergelar graduan dari Jepun. Apapun pada aku, engkau masih seorang Anas.



  Anas, engkau sedih ya? Ceritakanlah. Aku sudi mendengarnya. Bukankah sebahagian hidup kita ini adalah untuk mendengar? Aku bimbang kesedihan itu berpunca dariku. Aku mungkin tidak mampu membantumu mengurangkan kegalauan yang mencengkam, namun setidaknya aku tahu apabila engkau bercerita, engkau sedang melakukan terapi ke atas dirimu. Ya, terapi hati, seperti yang selalu didendangkan Kak Hana aku.

  Ceritakan ya. Aku tunggu.


Maryam Hamidah Zulkifli | Create Your Badge



0 comments:

Post a Comment