Tuesday, August 23, 2016

SUNGAI Thames mengalir lesu. Dipandang ke kiri dan kanannya, orangnya tidak ramai.
Dia membuka croissant yang masih panas dan gebu terbungkus dalam beg kertas coklT sederhana besar, perlahan-lahan. Huh. Sedikit mengeluh kerana tidak mudah menjumpai kedai yang tertampal halal di luarnya.
Bukan skeptik, tetapi berhati-hati itu lebih baik katanya.
Muak dengan cappucino, dia selesa memilih hot chocolate petang itu. Lebih jelira dan lebih Malaysia desisnya.
Pashmina hitam berjalur merah kuning yang disangkut di bahu buat membalut tubuh menahan sejuk terbuai-buai ditiup angin. Dia memandang jauh ke depan. Jelas dari bangku tempat duduknya kelihatan Jambatan London yang megah. Tersusun bangunan-bangunan lama yang pernah menjadi perhentian di muara itu suatu tika dahulu.
Tersergam indah namun kosong. Barangkali seperti dirinya yang merindukan Anas.
Bibirnya terjungkit.
'Anas'. Tidak pernah gagal mengukir senyum dan mencetus gelaknya.
"Begini?" Anas menggaru kepala bingung apabila dia menyuruh Anas memasang langsir biru kosong itu.
"Bukan...Naikkan sikit bagi sama hujungnya." Anas nyata kekok melakukan kerja-kerja rumah. Tawanya meletus melihat reaksi Anas. Itu kali pertama dia gelak besar.
Jika tidak memikirkan dia memakai jubah labuh ungu itu dan lelaki-lelaki lain yang turut sama berada di situ, ingin saja dia mengangkat jubah, mengilasnya di pinggang dan memanjat kerusi membetulkan kain langsir itu sendiri.
Ah, kenangan. Selalu sahaja engkau berlegar-legar.
"Saya akan berpindah nanti..."
Hanya itu mesej terakhirnya buat Anas dan mesej itu tidak dibalas. Agaknya Anas terluka dia membuat keputusan buru-buru begitu.
Entah. Lama tidak ketemu. Berita terakhir yang dia tahu Anas sudah melangsaikan pelajarannya di luar negara. Masih lagi cergas dan aktif dengan sukannya sehingga menjadi exco sukan sebuah persatuan.
Benar. Anas itu istimewa, tetapi hanya sebagai kawan. Orang yang pernah membuat dia senyum dan gelak ketawa di musim-musim gelapnya dahulu.
Hingga kini nama Anas terpahat dan azamnya untuk menamakan setiap anaknya nanti dengan nama 'Anas' di hujung pangkal.
Aduh. Obses sekali.
Anak matanya mengecil. Fikirannya terlayang jauh ke Malaysia. Tempat jatuh lagi dikenang.
"Sudah lama di sini?" Satu suara garau tiba-tiba mengetuk dinding telinganya.
Dia tersentak sebelum lekas berpalis wajah. Croissant di tangannya hampir-hampir melurut dari tangan. Malang, dia tertepis hot chocolate pula. Panasnya sedikit terasa di hujung jari; pejar. Mujurlah tempias tidak banyak. Dipandang sekilas mulut cawan kertas. Masih berbaki. Dia mengetip bibir spontan.
Merenung dua saat alis suara yang menyapa sebelum terbetik; lelaki dan Bahasa Melayu! Senyum paling lebar diukir menampakkan gigi.
"Oh, tak. Baru sahaja." Dia ternanti-nanti suara itu melantun lagi. Bukan senang ketemu orang Melayu dan bersembang begini di Kota London. Masing-masing selesa lebih berbicara dengan gajet ataupun bahan bacaan sahaja. Excited!
"Saya Basri." Suaranya mendatar memperkenalkan diri.
'Saya Basri. Saya Basri. Saya Basri.' Bergema sebaris kata itu.
Dia tidak mengalih wajah. Matanya langsung terpaku dan terlekat di mata Basri yang terlalu teduh dan sarat luka. Mata itu berwarna coklat kehitaman. Basri menghulur tangan untuk bersalaman. Cepat-cepat dia tersenyum lantas meletakkan tangannya menyilang di dada. Meski dia berada di Kota London yang gah dan berseluar jeans hari-hari, dia masih sedar dia seorang Melayu Islam. Basri mengangguk tanda memahami.
Tiga saat berlalu. "Tengku V?" Saja-saja dia menebak. Argh, Faisal Tehrani terlalu menguasai mindanya di kala ini.
Mereka berpandangan. Tiada kata. Masing-masing hanya berbicara melalui mata. Mulutnya sedikit ternganga dan lantas dikatup dengan tangan kirinya seraya gelak kecil. Gelaknya kedengaran palsu dan dibuat-buat. Basri kelihatan terkejut pegun dengan persoalan 'Tengku V', tetapi mampu mengawal gemuruh yang datang.
Dia mengamati lagi wajah Basri. Hampir separuh kepalanya beruban, namun masih lagi kacak. Dahinya luas, matanya dihiasi cermin mata berbingkai hitam. Badannya masih lagi tegap. Garis-garis di wajahnya nyata menunjukkan dia dimakan waktu dan sendu. Ada tenang, namun seperti ada bungkam yang tidak terluah.
"Saya Maria." Dia menggumam perlahan.
Nadanya semakin mengecil keliru dan dia dihujam seribu satu pertanyaan. Waraskah dia? Apa benar Faisal itu mengisahkan cerita yang benar? Wujudkah Basri dan Tengku V ini? Atau dia sedang berhalusinasi? Bingung.
Dicubit perlahan paha kirinya. Sakit. Tidak, dia tidak bermimpi, Dikalih untuk kali kedua memandang wajah Basri. Atau sebetulnya Uncle Basri. Mungkin sedikit muda dari ayahnya di Malaysia.
Dia cuba mengeluarkan suaranya lagi memanjang bual. Kaku. Liur ditelan terasa pahit bercampur kelat. Kepalanya berat tiba-tiba. Dia menanti patah kata 'Ya' di saat bertanyakan tentang Tengku V. Dia kemudian ketawa sendiri. Masakan wujud Basri seperti yang diomong Faisal Tehrani. Lelaki luka itu hanya ciptaan imaginasi seorang penulis.
"Val itu cinta pertama saya." Basri mengoyak bicara dengan tidak semena-mena.
Seakan guruh berhalilintar dalam ruang kepalanya. Langit seakan mendung. Dadanya sesak menahan debar dan degup yang tiba-tiba berkencang laju. Ketawa kecil tadi mati serta-merta berganti tubuhnya yang tidak berketik walau sedikit pun. Nafasnya menjadi pendek. Suara Basri cuba dicerna masuk ke kepala.
Dia dengan spontan menyentuh tangan Basri yang terletak di sebelah kirinya. Memastikan dia di alam nyata dan yang duduk di sebelahnya adalah satu jisim yang bernama manusia. Bukan jin atau malaikat.
"Tengku Valizah Tengku Sandel?" Nadanya kedu menyitirkan patah-patah nama Tengku V, sebutir-sebutir.
"Ya. Tengku V yang awak sebut tadi itu wujud." Suara Basri sedikit serak bergetar.
"Perempuan yang mengahwini Raja Hisyamuddin? Yang berjuang dalam Gerakan Baling satu ketika dahulu?" Suaranya ditekan dalam, meminta kepastian yang maha benar. Terkejut masih lagi menebal.
Belum habis ditanya, Basri memintas. "Ya, sayalah Basri, pejuang mahasiswa dahulu di UM. Saya Basri yang diburu dahulu kerana menghidupkan demonstrasi dan gerakan-gerakan mahasiswa. Sayalah Basri kekasih Tengku V dahulu." Dalam satu nafas Basri menuturkan.
Dia memicit kepala, sakitnya terlalu jelas. Basri itu ada dan wujud rupanya! Matanya sedikit berpinar. Peluh perlahan mengalir turun dari ubun-ubunnya, membasahi dahi, terus merenik dalam cuaca sejuk begini. Dia pasti dia belum gila atau setidaknya schizophrenia.
'Apa kau buat di sini?' Hatinya bergema sendiri, terkunci dengan sebuah kenyataan yang terhidang tiba-tiba. Nafsunya untuk makan dan bersantai petang itu langsung mati dimamah Basri.
Kau? Pakcik? Uncle? Awak? Ah persetankan bahasa panggilan sekarang. Tengku V lebih penting di Malaysia.
"Dengar ini..." Basri memecah sunyi yang memekat. Masa seolah terhenti.
'Baliklah! Tengku V sedang tunggu engkau, bodoh! Jangan bercakap dengan aku!' Bergema lagi suaranya. Lebih kuat dan hebat dari yang pertama. Gegak gempita yang pantas bersipongang sebelum terdiam sendiri.
            “Val tidak pernah menjadi suatu kesilapan dalam hidup saya. Dia adalah perempuan pertama dan terakhir dalam hidup saya.” Tenang suaranya.
Masakan? Lalu mengapa engkau melarikan diri ke Kota London? Benci tiba-tiba membuak-buak keluar dari dadanya.
“Val tidak pernah meragui seorang saya. Dia menunggu dan percaya bahawa saya akan pulang jua, sebelum surat yang diutuskan pada 21 Mei 1982 itu mematikan segala harapan yang pernah kami bina.” Dia meluah.
Dia –Maria- menelan liur. Apa Basri tidak pernah berjuang untuk mendapatkan Tengku V kembali?
Bukan sedikit surat yang diutus perempuan itu. Berpuluh  pucuk surat sebelum diputuskan bahawa dia akan menikahi Raja Hisyamuddin. Harus bagaimana cerita cinta itu? Harusnya selalu berakhir luka? Harusnya berakhir derita dan duka?
“Tidak. Cinta itu akhirnya bukan luka dan derita. Ia harus bahagia.” Seakan memahami gejolak seorang dia, Basri menjawab perlahan.
“Dengan kebisuan, kita berharap ia berakhir dengan bahagia?” Dia mula berani memintal pertanyaan.
“Maria, jangan jadi seperti saya...” Matanya sekali lagi tepat merenung mata dia. Dia merelakan kata-kata Basri. "Jangan jadi pelarian cinta seperti saya..." Sambung Basri lagi.
“Lalu, antara kebenaran dan keyakinan, apa ikatannya?” Lagi soalan. Nyata keraguan mutlak sedang dia hadapi.
“Keyakinan itu mendasari sebuah kebenaran. Kebenaran akan terserlah dengan keyakinan yang ada. Ia harus dijahit perlahan dengan masa dan ketika...” Basri memberi nasihat sebelum menyambung, “Silapnya kisah kami apabila saya meninggalkan Val tergantung seorang diri.”
‘Ya. Dan kau sungguh kejam.’ Dia bermonolog.
“Hidup saya sudah mati saat kaki saya melangkah keluar dari Malaysia. Jantung saya sudah berhenti berdegup. Nafas saya sudah diambil dan dibawa pergi oleh Val. Saya di sini hanya menunggu Izrael.” Pedih kenyataannya.
“Tengku V masih hidup...” Dia pula membuka kata, lemah. “Saya tahu.” Basri mengungkap penuh kesal.
“Dan dia ditinggalkan Raja Hisyamuddin dengan seorang anak.” Basri jelas terkesima.
“Saya rasa uncle tidak tahu ini, bukan?” Hati sudah sedikit lembut. Marah yang ruap membara tadi rupanya sedikit pejur dengan penjelasan yang dihulurkan. “Tengku V sakit teruk. Ada Parkinson juga.’’ Dia menyambung lemah.
“Dia juga sudah mati sebelum masanya. Uncle sudah membawa hati dia pergi. Anak yang ada itu terjadi di luar kerelaannya. Saat saya membaca majalah Peristiwa Februari yang lalu, saya menyangka itu hanyalah kisah fiksyen yang direka-reka untuk menghangatkan ruangan tersebut. Ada juga cebisan-cebisan surat yang disertakan dalam ruangan itu. Tulisan tangan seorang Basri dan Tengku V.” Matanya beransur sebak mengenang surat-surat itu.
Basri di sisinya yang tadi keras kelihatan seperti patung lantas menekup muka dengan kedua tangan. Esakan kecil didengari.
Sungai Thames semakin sibuk. Matahari berdikit-dikit berganjak malu membiaskan garis merah dan putih. Langit nyata walang. Dia masih duduk bersama seorang Basri yang sedang menangis.
“Val, aku tidak tahu Hisyamuddin sudah pergi. Aku tidak tahu engkau menderita. Aku sangka engkau bahagia dengan anak itu.” Basri mengongoi semakin kuat seperti anak kecil. Matanya bengkak sembap.
 “Val, maafkan aku. Val, aku masih setia denganmu.” Pedih dan sayu dia mendengarkannya. Dadanya senak sekali. Tangisan jantan seorang lelaki yang pecah di saat senja mula menjelmakan diri.
Apa salah cinta? Apa salah seorang Basri dan Tengku V? Bukankah cinta seharusnya bersatu dan berdiam sehingga mati? Mati bersama-sama? Bukankah itu seharusnya? Apa benar cinta harus ternoktah dengan kisah sebegini? Teriakan Basri semakin menjadi-jadi. Pengunjung yang lalu-lalang sesekali menjeling kehairanan. Biarkan. Biarkanlah dia bercerita dengan air mata.
            “Berikan aku alamat Val.” Basri laju meminta sambil menyentuh tangan dia, menggenggam erat dan kemas seolah merayu yang tersangatan. Tangannya basah dengan air mata, dingin terkena angin petang. Dia tidak menghiraukannya lagi. Cinta mengatasi segalanya.
             Dia menarik nafas dalam, menyerakkan kelegaan. Moga cinta lama kembali bersatu walau usianya sudah terlalu lewat dimamah dekad. Dia tahu lelaki itu sudah lama mengempang cinta. Garis-garis luka itu harus disembuhkan dengan mata Tengku V. Cinta itu harus disemikan kembali untuk menyembuhkan dua insan. Dia cepat mengeluarkan majalah Peristiwa dari tas tangan hitamnya, membelek ke muka surat 36.
“Ini. Cepat pulang. Tengku V menanti.” Hanya itu mampu dikeluarkan oleh kerongkongnnya. Jari telunjuknya menunjuk satu alamat.
 Dalam sembap dan bengkak, senyum paksa diberikan.
          “Maria, usah jadi seperti saya. Kejar dan pertahankan cintamu. Antara keyakinan dan kebenaran, haruslah kebenaran itu muncul jua. Tidak dikatakan kebenaran juga jika keyakinan tidak menjadi dasar. Dan...kebisuan bukanlah jalan yang sebenarnya.”
   Petang yang indah. Petang yang dramatik namun damai. Petang yang sembilunya terlalu tajam.
 “Ayuh pulang. Ikut saya. Kita tidak berupaya lagi melarikan diri dari cinta. Kota London mungkin besar dan mewah tetapi tidak sesuai untuk orang-orang seperti kita. Ia kota besar sibuk yang sunyi.” Basri mematikan lamunan seketikanya.
  Tangan huluran Basri masih ditatapnya. Berfikir antara pulang atau teus begini. Antara keyakinan dan kebenaran; dia masih memikirkan apakah ikatannnya. Dan hot chocolate nya telah sejuk kala kepalanya masih berselirat memikirkan ia.

0 comments:

Post a Comment