Friday, August 12, 2016

Jam 10.30 malam dan saya mula menapaki tangga Mahallah Asma'.

Adik-adik dan umi saya tinggalkan dengan lambaian dan ciuman selamat malam.

Hati saya masih bercampur kilat dan guruh. Sedih, geram, terpukul, dihenyak-henyak dengan situasi tadi.

"Macam mana belajar? Ok? Bila Faris periksa?"

"Periksa empat haribulan sembilan ni..." Dia menjawab lewa.

"Study tak?" Saya menyambung dalam bingit sementara kami menunggu nasi goreng paprik lima bungkus itu siap.

"Erm.." Dia senyap. Matanya tiba-tiba berair. Saya syak sesuatu.

"Macam mana nak study? Bukannya ada orang nak ajar hari-hari." Dia menoktahkan dengan air mata tertahan. 

Saya terkejut, sebelum cuba mengorek lebih dalam lagi.

"Eh, cikgu macam mana? Masuk kelas tak? Belajar ke tak? Pastu sehari-hari di sekolah buat apa?" Sesal memenuhi hati kecil saya kerana tidak pernah bertanya rutin sehariannya di sekolah. @016 yang sibuk dengan persiapan dan saya terbang dengan meninggalkan dia dalam senyuman. 

Sangka saya pembelajarannya tiada masalah. Sangka saya dia gembira berada di sekolah rendah itu sebagaimana dua kakaknya yang becok bercerita setiap kali pulang dari asrama.

Saya menelan liur, cuba menyimbah pergi air matanya yang terasa begitu sayu di  mata saya. Hati saya pecah. Air mata saya gugur di dalam hati sahaja.

"Okey macam ni. Biar Faris cerita jadual bangun pagi hingga tidur balik." Dia sudi bercerita kepada saya, meluahkan gusarnya di dada. Gusar yang tersimpan lama berangkali.

Saya bersedia mendengar. Sesekali ekor mata menjeling ke arah kakak berbaju biru yang berhempas menyiapkan nasi goreng pesanan kami.

"Pagi, bangun tidur jam 6 pagi dan solat Subuh. Kalau bangun pukul 6.30 pagi, terus mandi dan tak solat Subuh. Kemudian ke sekolah. Belajar matapelajaran teras; Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matemati dan Sains. Kemudian terus pulang dari sekolah, solat Zuhur, mandi dan makan tengahari di asrama. Petang waktu untuk prep. Selepass Asar free. Kemudian solat Maghrib jemaah di surau. Ustaz ajat mengaji dari lepas solat Maghrib hingga Isyak. Kemudian ada kelas tambahan. Kalau ada kerja sekolah belum siap, siapkan lepas Isyak."

'Eh, cikgunya ada sahaja. Mata pelajarannya cukup.' Hati saya terbetik sendiri.

Lalu apa masalahnya sehingga berair matanya tadi?

"Cikgu masuk setiap subjek? Pastu macam mana?" Mencungkil lagi.

"Masuk."

Jeda. Jeda yang panjang. Matanya yang tadi memandang tepat saya terus dilarikan. Saya lihat matanya yang mula kering kini berair kembali.

Bagi masa. Bagi masa pada dia. Tutur saya pada diri.

"Faris peliklah. Kenapa dari Abang Akem hingga Kak Na Kak Ni semuanya bijak pandai. Tapi bila tiba kat Faris..." Dia diam lagi.

"Kenapa cakap macam tu?" Saya belum puas bertanya. Ingin tahu lebih mendalam dan detil membuak-buak. Anak ini tidak selalu bercakap dari hati ke hati dengan saya. Selalunya jika pulang dia lebih banyak makan dan bergaduh dengan kakak-kakak yang lain.

"Kak Yam bayangkan Sains Faris dapat C, Matematik C, Bahasa Melayu Pemahaman B; Penulisan C, Bahasa Inggeris C..." Dia bernada begitu kecewa.

Saya diam. Harus bagaimana? Harus diapa pada anak ini? Harus ditiup semangatnya yang hilang?

Hati saya semakin koyak, langsung jatuh berkeping-keping hingga ke tumit.

"Cikgu pula garang. Selalu memanggil kami bodoh. Selalu marah-marah. ZDahlah mengantuk dalam kelas. Cikgu mengajar tak best."

Dia mengadu lagi. Mujur diluah.

"Ermmm. Semua cikgu macam tu? Ada tak cikgu yang Faris suka dengan subjek dia?" Saya buntu. Hanya itu terluah.

"Ada. Subjek Sains, Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu."

"Faris ada potensi. Semua budak ada potensi, Faris. Cikgu garang sangat ke?" Saya semakin bisu.

"Cikgu tak pernah faham perasaan kami. Ciikgu selalu cakap kami boleh, kami boleh. Tapi bila kami buat salah, ada cikgu tanya ada masalah lain ke? Ada cikgu tahu masalah keluarga ke? Cikgu kat sini tak sama seperti cikgu di Sekolah Kuang dahulu!." 

Dia mengkonklusi begitu. Mata da semakin berair.

"Semua cikgu macam tu ke?" Saya bertanya dengan hati-hati smabil memandang tepat anak matanya. Badan bersandar di cermin sliding itu. Dua tangan saya silangkan ke dada.

Umi yang sedang melayan pelanggan memerhati sahaja kami berdua. Suara saya yang kadang-kadang bertingkah dengan Faris saya tahu, umi dengari.

"Cikgu selalu marah-marah tengking-tengking bila kami buat silap. Apa salahnya kalau cikgu cakap elok-elok, beritahu elok-elok. Lagilah kami faham nanti. Ini tidak, buat salah dikatanya bodoh, tidak diajar pula satu persatu. Bukan kami tak cuba. Rasanya Faris nak sahaja angkat tangan nak berkata begitu kepada cikgu di dalam kelas."

"Kalaulah cikgu faham bahawa masalah dalam kelas ada perkaitannya dengan masalah lain..." Sayu suaranya.

Hati saya tersayat. Ingin menangis, tapi ditahan. 

Ingin saja saya berada di sisinya setiap masa. Di waktu-waktu umi yang terlalu sibuk kerana kerjanya, mencari wang siang dan malam, kadang makan sendiri pun tak terkejar. Workaholic. Itu saja kata yang tepat untuk umi.

Selesai dia menghamburkan segala katanya yang terbuku, matanya lari dari mata saya. Ya saya tahu dia sedih. Ya saya tahu dia memerlukan kekuatan seorang ayah. Anak yatim takkan pernah sama dengan yang tidak yatim. Apatah lagi lelaki dan dia sememangnya rapat dengan arwah ayahnya dahulu.

Saya tahu dia berdikit-dikit hilang semangat tatkala mulutnya mula membanding-banding cikgu sekolah lama dan sekolah kini.

"Macam ni lah, tadi Faris ada bagitahu yang tiga subjek tu Faris sukakan cikgunya. Nanti Faris jumpa cikgu tu sekerap mungkin, selalu tanya soalan, minta cikgu bantu untuk UPSR. Faris tahu tak waktu Kak yam mengajar dulu di sebuah sekolah, anak murid dalam tu boleh dikatakan semuanya malas dan tak pandai. Tapi Faris rajin kan?" Dia memandang saya diam, cuba meneleku baris yang akan keluar.

"Kemudian Kak Yam mengajar macam biasa. Sehinggalah suatu hari datang seorang murid paling tak pandai dalam kelas tu, namanya Zarif. Dia minta Kak Yam ajarkan soalan Matematik, padahal semua soalan yang dia jawab semuanya salah."

Saya senyum, ligat memeikirkan bagaimana ingin memotivasikan adik saya ini.

"Faris tau, Kak Yam suuuka sangat bila Zarif pun datang bawa soalan Matematik walaupun dia tak pandai. Cikgu yangselalu marah-marah tengking-tengking tu, Faris biarkan dulu. Faris fokus pada tiga subjek tu sahaja dulu untuk masa sekarang. Fokus dalam kelas, jangan tidur, tanya cikgu terus kalau tak faham, buat banyak latihan. Boleh? Ada buku latihan tak?"

Dia diam dan termenung, lalu menggeleng. Saya mati kutu. 

Allah, terabainya adik saya yang ini. 

Ya, saya tahu asramanya adalah asrama anak yatim yang sangat dhaif. Sewaktu mula-mula menghantarnya ke sana, umi hanya menahan tangis melihat asrama yang tiada katil dan tingkap bangunan. yang ada hanyalah tilam-tilam lembek yang kusam warnanya, bangunan kosong, kipas yang hidup segan mati tak mahu, loker yang tertampal-tampal dan tercabut mangganya.

Menangis. Benar-benar menangis si Faris ini. Tetapi itu dua tahun yang lalu. Sedikit sebanyak dia bertarung emosi membiasakan diri. Waktu itu susah, Segala-galanya harus bermula dari kosong. Segala-galanya gelap. Airmta tumpah usah dibilang, luka didada usah dikira. Tuhan Yang Maha Penyayang itu katanya selalu ada sesuatu untuk kita.

Malam ini juga hati saya walang.

"Jom masuk makan." Saya menyeru Faris. Dihulurnya saya nasi bungkus itu berserta sudu dan plastik kuah. dihulur pula pada Nana Nini dan umi. 

Ya saya tahu, dia lebih matang dari usianya. Dia anak lelaki yang bernaluri ingin melindungi kakak-kakaknya dan umi. Saya selalu terlihat itu.

'Lekaslah besar adik. Lekaslah. Aku terlalu sakit melihatmu begini. Aku terlalu perit merasakan begini.' 

Ia adalah sebuah perjuangan kehidupan yang harus diteruskan.

Dan saya harus bertindak sebagai sayap kanan umi di kala abang juga jauh sekarang ini. Bertindak juga sebagai penguat semangat adik-adik. Saya tidak ingin mereka 'mati' lebih awal. Saya tidak ingin mereka kecewa dengan sesuatu yang bernama kehidupan dan takdir. Saya tidak tegar melihat mereka berputus asa dengan kehhidupan.

Menongkahlah, adik-adik. Kita masih punya Tuhan.

Sewaktu makan, Faris sudah mampu tersenyum dan bergelak ketawa. Barangkali gusar mendekam yang sudah terluah tadi hilang sebentar.

Begitulah. Di setiap sisi-sisi kepahitan, seringkali saya masih mampu tersenyum kesyukuran kerana adik-adik tidaklah menjadi liar dengan kesusahan hidup yang menimpa. Mereka masih mampu gembira dan bergurau senda. Ajaib. Entah bagaimana, entah doa apa yang selalu dipinta umi.

Dilihat umi sebagai orang yang ajaib pada saya. Hidupnya yang berencah bermacam, susahnya yang maha Tuhan sahaja tahu, tetapi anak-anak semua menjadi, mendengar kata dan masih 'hidup'.

Doa apa ya yang dibaca umi?

Tuhan, untuk segala kesulitan yang Engkau berikan; sudah Engkau janjikan kesenangan bukan?

Untuk segala duka yang Engkau campakkan malam ini, pasti ada sukanya bukan?

Faris, membesarlah dengan damai. Tuhan terlalu sayangkanmu sehingga begini bermacam yang engkau terima di waktu kecil ini. Tiadalah yang terpaling menyintaimu melainkan Dia.

Untuk Tuhan, berikanlah kami tali di waktu-waktu kesempitan agar kami mengerti Engkau sebenarnya selalu ada dan selalu setia.

Untuk malam yang masih berjalan, terima kasih untuk sebuah duka dan terima kasih untuk cerita sebuah keluarga yang engkau persembahkan. Dan aku masih tidak jemu untuk menantimu esok hari kerana di sana masih ada bahagia. Aku percaya. Aku percaya.

Sebelum malam melabuh tirai tadi, umi diam-diam bertanya dalam kereta tadi, "Kakak berdebat apa dengan adik tadi depan pintu?"

Saya apalagi, terus menghambur segala kekecewaan tentang seorang cikgu yang tidak berhati manusia!

0 comments:

Post a Comment