Saturday, August 6, 2016

"Ada yang panggil awak dengan nama 'Mar'?"

"Hah?" Saya terkejut atau buat-buat terkejut dengan soalan yang terlalu tiba-tiba sebelum senyum datang menggesit di bibir. Mata menerawang memikirkan satu susuk.

"Ya. Ada. Yang teramat isitimewa." Senyum lagi. 

Bibit-bibit yang sekejap dan pantas, tetapi kemas tersimpan; tidak saya lupa. 

Kerusi yang sama menghadap Selat Bosphorus, meja yang sama terpacak di situ, di sebelah pagar menghadap selat, di situlah setiap pagi kami bertemu dengan menu sarapan yang berbeza. Kadangkala hanya roti bersalut aiva dan keju nipis. Dan kadang-kadang fasuliye yang sedikit berat itu. Jika mood tidak kena masa, disumbat sahaja salca beserta roti. 

Dia seorang yang tidak cerewet, lebih-lebih lagi tentang makanan.

Meneman hari-hari di Turki, nyata dia kawan yang ceria sentiasa. 

Sesekali diajarnya saya Bahasa Arab, sesekali diguraumaki saya bahawa saya ini pemalas orangnya. Dikutuk-kutuk supaya saya belajar Bahasa Turki. Di kebanyakan hari, dia menjadi seorang kakak yang tersangat baik untuk saya.

Hanya hari itu saya melihat dia menangis tersedu-sedan. Masih saya ingat waktu itu pipinya lembap, olesan krim UV nyata bertampuk-tampuk tanda menangis yang keras, bibirnya kosong dari lip gloss merah jambu dan matanya teduh yang terlalu.

Ah, gusar sekali. 

"Keluarga saya di rumah,.."

Saya berdebar. Ada kematiankah hingga sembap begini matanya? Dada saya sesak sendiri, berkulum menjadi selirat tanda tanya.

Saya jadi pegun, diam membatu di tempat saya berdiri. Dia duduk di kerusi meja bulat itu, menyembunyikan matanya.

Tanpa isyarat dan kata, terus saya memeluk dia. Erat dan kejap. Biar dia tahu saya ada. Aroma Sweet Love yang selalu dipakainya tidak saya ciumi hari ini. Hanya bau bunga biasa-biasa. Barangkali bau pakaian sedia ada. Nyata dia terlalu berduka. 

Tangisnya menjadi-jadi. Tangannnya yang memeluk bahu saya mencengkam kuat. Tudung satin merah saga saya terasa basah dengan air mata teman seorang ini.

Gusar apakah ini? Saya mula sebak, Bibir digigit ketat, geram dengan diri sendiri yang membatu diam seribu bahasa. Ah.

Tidak lama dia begitu. Tangis perempuan yang reda sendiri, dibalut tangan saya yang masih hangat.

"Keluarga saya di kampung sedang ketakutan."

Dia menyusun butir bicara perlahan-lahan, bimbang empang air mata pecah kembali. Dan dia yang selalu kalah dengan emosi.

Saya diam, memberi ruang kakak ini meluah sedih.

"Aleppo dibom. Kampung saya hanya sejam dari Aleppo; Kilis. Kilis hanya di sempadan Turki!"

Parah. Ini soal hidup mati.

Sesekali saya menyumpahseranah ISIS dan pemberontak AKP itu.

Bodoh dan kejam.

"Jadi sekarang bagaimana keluarga awak?" Akhirnya terkeluar suara dari kerongkong saya yang kelu.

Dia menggeleng kepala laju-laju. Saya hanya mengukir senyum sedikit.

"Kata ayah saya mereka akan datang ke Istanbul sementara perang di Aleppo reda. Mereka tidak sepatutnya melibatkan orang awam. Laknat ke atas kamu pemberontak!" Dia terlalu marah. Suaranya ditekan tegas. 

Saya hanya memandang.

Ia tentang keluarga. Saya kira tiada yang lebih berharga melainkan keluarga. Dan kawan.

Perlahan-lahan kepala menjengah keluarga di Malaysia. Ada rindu yang membibit. Ada sesal yang menerpa. Terus ingatan melompat satu-persatu teman-teman di Malaysia. Apa khabar agaknya mereka.

"Bila mereka datang ke sini?"

"Minggu depan." Saya semakin lega apabila dia membuka mulut. Saya menepuk-nepuk bahunya, memberi sedikit kata semangat sebelum beredar di kala matahari meninggi itu.

Kehidupan berjalan seperti biasa. Ke kelas, ke tempat-tempat bersejarah sesekali, berjumpa pensyarah-pensyarah, dan selebihnya lepak bersama kawan Melayu yang lain.

Aisya, dia adalah perempuan biasa yang lekat di ingatan saya. Perempuan berkulit putih telur, berhidung mancung dan berambut hitam beralun tebal. Mukanya ada iras Arab dan selalu ketawa menampakkan giginya yang tersusun rapi. Perempuan yang selalu belajar Bahasa Arab melalui lagu kanak-kanak. Tidak tegar melihat saya sedih. Dan sering memecah sunyi dengan lawak bodohnya.

Bila ya kita boleh ketemu lagi?

Aisya, 

saya rasa saya rindu awak.

0 comments:

Post a Comment